SHAH ALAM: Enam individu termasuk pasangan suami isteri pengasas program motivasi rumah tangga eHati bersama anak perempuannya dibebaskan dengan jaminan polis.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim yang memaklumkan kesemua individu itu dibebaskan, hari ini.
“Tak (di)sambung, semua OKT (orang kena tahan) diberi jaminan polis,” katanya ringkas kepada pemberita, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, pasangan suami isteri tersebut serta anak perempuannya direman selama tiga hari sehingga 18 Julai ini oleh Mahkamah Majistret pada bagi membantu siasatan berhubung penganjuran acara berunsur lucah, pada September tahun lalu.
Perintah reman juga dikeluarkan oleh Majistret Ameera Mastura Khamis terhadap tiga lagi individu yang didakwa terlibat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan inkuiri mengenal pasti kesalahan jenayah berkaitan program motivasi rumah tangga yang didakwa songsang dan terpesong.
Sebelum ini melaporkan, polis membuka kertas inkuiri mengenal pasti kesalahan jenayah berkaitan program motivasi tersebut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya memanggil beberapa saksi termasuk peserta bagi mendapatkan pengesahan termasuk melibatkan penggunaan air yang didakwa boleh mengkhayalkan.
Malah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut memanggil dua saksi esok bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyebaran doktrin palsu di negeri itu.
Terdahulu, tular satu hantaran daripada seorang pengguna dalam Facebook apabila terdapat penganjuran sebuah program yang dipercayai sebagai syirik pada September tahun lalu.
Menurutnya, peserta yang hadir program tersebut semuanya bertudung sebelum terdapat satu sesi khas dikendalikan oleh sebagai fasilitator terdiri daripada ahli peringkat tertinggi dalam pertubuhan tersebut dipanggil sebagai ‘Cleopatra’.
Kemudian, diikuti individu yang didakwa sebagai pengasas program tersebut dengan berani menanggalkan pakaian dan menari bersama-sama fasilitator.
Jelasnya, upacara itu dianggap sebagai satu kaedah membuang masalah dengan menanggalkan semua pakaian untuk menyertai aksi tersebut bersama fasilitator. – UTUSAN