KLANG: Polis menyiasat kejadian buli melibatkan pelajar perempuan di dalam kawasan tandas sebuah sekolah menengah di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung satu rakaman video yang tular di aplikasi Facebook, kira-kira pukul 12.53 tengah hari tadi.
Jelasnya, rakaman itu menunjukkan insiden pergaduhan antara pelajar dari sekolah yang sama.
“Kes itu sedang disiasat polis mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan Sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya hari ini.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi lebih dua minit memaparkan seorang pelajar perempuan dikelilingi sekumpulan pelajar lain dipercayai akibat perselisihan faham.
Kejadian itu dipercayai melibatkan sebuah sekolah menengah dan mangsa dipukul pada badan serta ditampar.
Tambah Vijaya, pihaknya memandang serius sebarang perlakuan buli apatah lagi berlaku dalam kalangan pelajar sekolah.
“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara. Justeru, semua pihak dinasihatkan tidak menyebarkan spekulasi atau andaian tidak berasas yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat,” ujarnya.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai diminta menghubungi Pegawai Penyiasat; Inspektor Mohamad Izroy Kamarulzaman di talian 014-8183519 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – UTUSAN