KUALA LUMPUR: “Ketika tiba di lokasi kejadian saya melihat kanak-kanak itu sudah terjatuh dan tidak bergerak serta bersuara.”
Demikian kata saksi yang melihat kejadian seorang kanak-kanak berusia empat tahun dari tingkat 30 sebuah pangsapuri di Bukit Jalil, di sini, semalam
Lelaki itu yang ingin dikenali sebagai Wan, 32, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke pos pengawal untuk mengambil bungkusan barangnya sebelum melihat pengawal keselamatan berlari dan turut mengajaknya ke lokasi kanak-kanak terbabit terjatuh.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, dia mendapati mangsa sudah terjatuh dan tidak bergerak serta bersuara.
“Saya antara yang terawal tiba di lokasi dan ada individu lain sudah berada di sana. Saya terkejut melihat kejadian itu dan segera menghubungi MERS 999 untuk bantuan.
“Tetapi saya tidak pasti bagaimana kejadian itu berlaku dan dari tingkat berapa kanak-kanak itu terjatuh kerana ketika tiba mangsa sudah jatuh,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Terdahulu media melaporkan, kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 30 sebuah pangsapuri di Bukit Jalil, di sini, semalam.
Difahamkan, mangsa terjatuh dari balkoni kediaman bertingkat itu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada orang awam pada 11.17 pagi.
“Individu itu memaklumkan seorang kanak-kanak terjatuh dari bangunan di perumahan berkenaan,” katanya
Menurut saksi berkenaan, dia dan pengawal keselamatan cuba mencari ahli keluarga kanak-kanak terbabit namun tidak mengenali mangsa dan warisnya.
“Ini kerana saya dan mangsa tinggal di blok kediaman berbeza. Sebaliknya kira-kira 30 minit selepas kejadian ada seorang lelaki dipercayai bapa mangsa datang ke lokasi dan terduduk (di sisi jasad kanak-kanak itu) dan (barulah kami tahu) itu bapanya,” katanya.
Ujarnya, sebagai seorang bapa dia juga merasai kesedihan itu dan turut mengakui masih terkejut dengan kejadian berkenaan. – UTUSAN