Pertuduhan kes Zara Qairina boleh diubah berdasarkan dapatan inkues

Pertuduhan kes Zara Qairina boleh diubah berdasarkan dapatan inkues

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertuduhan terhadap lima remaja perempuan yang dituduh membuli Allahyarham Zara Qairina Mahathir boleh diubah semula sekiranya dapatan inkues mengesahkan kaitan mereka dengan kematian mangsa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, meminda pertuduhan dalam sesuatu proses mahkamah adalah perkara biasa sebaliknya ia boleh dilaksanakan berdasarkan bukti atau dapatan baharu.

“Apakah jika perjalanan inkues ada mendapati bukti-bukti affirmative (pengesahan) dengan pelaku? Saya percaya inkues akan terhenti sebab pelaku sudah diketahui.

“Tentulah pertuduhan boleh dipinda. Meminda pertuduhan dalam satu-satu proses adalah perkara biasa, kadang-kadang seseorang itu dituduh di bawah (Seksyen) 302 (Kanun Keseksaan) tetapi diubah kepada (Seksyen) 304 (Kanun Keseksaan) kerana menyebabkan kematian, umpamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) bangun untuk bertanyakan sama ada pertuduhan terhadap kelima-lima remaja perempuan berkenaan boleh diubah sekiranya dapat inkues atau siasatan lanjut menemui bukti-bukti baharu berkaitan kematian Zara Qairina.

Memperjelaskan isu pertembungan pertuduhan yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN – Kota Bahru) sebelum ini, Saifuddin berkata, Jabatan Peguam Negara sudah memberi penjelasan bahawa kelima-lima remaja itu dituduh di bawah pertuduhan membabitkan buli.

Manakala, katanya, inkues pula adalah satu proses siasatan oleh Mahkamah Koroner untuk mengetahui punca kematian Zara Qairina.

“Macam kes adik (Wan Ahmad) Faris (Wan Abdul Rahman) dulu. Kesnya bila? 2013, inkues keputusan bila? 2016. Apa keputusan inkues? Adik Faris ditemui tergantung dan ada penglibatan pihak ketiga yang menyebabkannya.

“Begitu juga dengan kes ini (Zara Qairina), yang saya faham kenyataan Peguam Negara, dia akan cuba buktikan ada perbuatan buli, ada pelakunya, ada saksinya, ada kalimah atau kata-kata dianggap boleh menyebabkan kemurungan, tekanan dan sebagainya mengikut definisi undang-undang.

“Manakala inkues kalau berjalan mengikut aturan dan keterangan saksi dan di situ boleh bersoal jawab semua sekali untuk mengetahui puncanya,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN