SHAH ALAM: Seramai lima individu termasuk empat pengarah syarikat direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini bagi membantu siasatan berhubung permohonan permit pekerja asing di negeri ini.
Permohonan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dibenarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali yang mengarahkan kesemua suspek direman sehingga 27 Jun ini.
Kesemua suspek termasuk seorang warga Bangladesh itu disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan permit pekerja asing di Selangor.
Menurut sumber, sebelum itu kesemua yang direman terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia 20-an hingga 60-an ditahan SPRM antara pukul 3 hingga 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.
“Kesemua suspek melalui syarikat masing-masing dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2023 sehingga 2024.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek mengemukakan dokumen permohonan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 kepada Jabatan Imigresen Selangor yang mengandungi butir matan palsu dengan niat memperdayakan Jabatan Imigresen Selangor,” katanya, hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Bagaimanapun, beliau memberitahu terdapat tiga lagi individu yang turut ditahan bersama semalam, tetapi dilepaskan atas faktor kesihatan selepas keterangan masing-masing diambil dengan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin. – UTUSAN