SHAH ALAM: Seorang pengemis dituduh membunuh pengemis lain dalam satu prosiding tertutup dekat Hospital Shah Alam, di sini, hari ini.
Tertuduh, Mohamad Fauzan Adib Abd. Aziz yang sedang ditahan di wad pemerhatian hospital berkenaan mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam, Mislia Mohd. Aris.
Tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam itu sehingga prosiding itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, suspek berusia 28 tahun itu dihadapkan dengan pertuduhan tersebut pada pukul 10.22 pagi.
“Suspek dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan secara prosedur tertutup di wad pemerhatian pada hari ini. Semasa pertuduhan dibacakan tertuduh mengangguk faham.
“Pertuduhan dijalankan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun jika disabitkan bersalah,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, pada prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Anisa Khairus Masnan, turut ditetapkan tarikh sebutan semula kes pada 9 Jun di Mahkamah Majistret.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang peminta sedekah maut ditikam oleh seorang peminta sedekah lain.
Punca kejadian dipercayai berlaku untuk merebut kawasan meminta sedekah yang mana suspek dan mangsa telah bertikam lidah terlebih sebelum suspek bertindak mengeluarkan sebilah pisau lalu menikam di bahagian dada mangsa beberapa kali di tempat kejadian. – UTUSAN