KLANG: Kegiatan haram empat sahabat dikenali Geng Along Jep mencuri kenderaan bagi kegunaan harian sejak hujung tahun lalu tumpas selepas mereka dicekup polis di sekitar daerah ini, bulan lalu.
Kesemua lelaki tempatan berusia 25 hingga 40 tahun itu menyasarkan mangsa yang meninggalkan kenderaan dengan kunci dan enjin tidak dimatikan di tepi jalan.
Namun, kereta dan motosikal yang dicuri itu tidak dijual suspek malah digunakan sendiri dengan hanya menukar nombor plat.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd. Zaini Abu Hassan berkata,
empat suspek yang bekerja sendiri itu ditahan secara berasingan menerusi Operasi (Op) Lejang antara 10 hingga 30 April lalu.
“Siasatan mendapati kumpulan itu aktif mencuri kenderaan di sekitar Klang Selatan, Shah Alam, Kuala Selangor dan Klang Utara. Mereka menyasarkan kereta lama seperti Perodua Kancil, Proton Iswara dan Proton Iriz manakala motosikal pula seperti Honda EX5 serta Yamaha Y15.
“Kesemua suspek ditahan bersama 12 kenderaan masing-masing enam kereta dan motosikal termasuk satu rangka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, semalam.
Jelasnya, semakan mendapati semua suspek secara keseluruhannya memiliki 30 rekod jenayah lampau dan 22 kes dadah.
“Hasil saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan diserahkan kepada IPD Klang Utara bagi siasatan lanjut. Kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Tambah Mohd. Zaini, penahanan itu membawa kepada penyelesaian lapan kes kecurian motosikal dan sembilan kes melibatkan kenderaan.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak cuai meninggalkan kenderaan biarpun hanya mahu ke kedai sehingga memberi peluang kepada penjenayah untuk mencuri. – UTUSAN