SHAH ALAM: Melakukan provokasi dan enggan membuka pintu rumah sehingga terpaksa dipecahkan antara tindakan warga asing yang cuba menggagalkan operasi serbuan Jabatan Imigresen Selangor di kawasan Flat Seksyen 8 di sini, malam tadi.
Dalam Operasi (Op) Kutip kira-kira pukul 9 malam itu, terdapat pintu rumah perlu dipecahkan selepas penghuninya tidak mahu memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
Malah, seorang lelaki warga asing cuba membuat provokasi kerana tiada berpuas hati rumahnya diketuk. Namun, situasi itu dapat diatasi 29 pegawai dan anggota penguat kuasa dengan membawa kepada penahanan 23 pendatang asing tanpa izin (PATI).
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, kesemua tangkapan itu melibatkan 15 warga Indonesia, enam Bangladesh dan dua Pakistan berusia antara dua hingga 60 tahun.
Menurutnya, siasatan mendapati Pati itu dipercayai berada di negara ini lebih enam bulan dan masuk menerusi Johor serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang.
“Mereka menyewa kediaman flat itu antara RM700 hingga RM900 sebulan manakala sewa bilik serendah RM200.
“Ketika serbuan, berlaku cubaan provokasi bagi mengganggu kelancaran operasi itu namun keadaan berjaya dikawal sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Menurut Khairrul Aminus, kesemua Pati yang ditahan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kesalahan itu melibatkan tiada pas atau permit sah dan tinggal lebih masa di negara ini. Kesemua mereka telah dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih bagi tindakan lanjut,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya akan menjalankan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras kehadiran Pati di negeri ini.
“Kita komited memastikan undang-undang imigresen dipatuhi dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melindungi atau menyewa kepada warga asing secara haram,” katanya. – UTUSAN