Pemandu lenyek penunggang motosikal direman

Pemandu lenyek penunggang motosikal direman

Lenyek penunggang
TANGKAP layar video tular memaparkan seorang lelaki dilenyek sebuah kereta dalam kejadian di sekitar Taman Sentosa, di Klang, Selangor, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang penunggang motosikal dilanggar sehingga terseret dan dilenyek pada bahagian kaki oleh seorang pemandu sebuah Perodua Bezza dekat Jalan Dato’ Yusof Shahbudin, Bandar Sentosa, di sini, malam tadi.

Berdasarkan video yang tular dalam media sosial, pemandu tersebut melanggar lelaki berusia 50 tahun itu sebelum melarikan diri selepas dipercayai tidak berpuas hati terhadap tindakan memukul cermin hadapan keretanya sehingga retak menggunakan topi keledar.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, kejadian berpunca daripada perselisihan faham apabila penunggang motosikal itu dikatakan cuba mengelak lubang di jalan berkenaan.

Menurutnya, bagaimanapun tindakan sedemikian dianggap berbahaya oleh pemandu terbabit yang kebetulan melalui kawasan berkenaan sebelum membunyikan hon menyebabkan penunggang tersebut tidak berpuas hati lalu mengejarnya.

“Siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila mangsa mengelak beberapa permukaan jalan tidak rata di kawasan berkenaan. Pemandu kereta iaitu lelaki tempatan berusia 37 tahun menganggap mangsa menunggang secara tidak berhemah dan membunyikan honnya bagi menegur perbuatan itu.

“Mangsa yang tidak berpuas hati kemudian mengejar pemandu itu dan menghentak cermin depan kereta dengan topi keledar sehingga retak,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jelas Ramli, susulan kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10 malam itu, penunggang berusia 50 tahun itu cedera di bahagian kaki dan bahu sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menerima rawatan.

“Mangsa cedera di kedua-dua kaki dan bahunya termasuk terkehel. Dia bagaimanapun dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan lanjut,” ujarnya.

Tambah beliau, hasil siasatan pihaknya membawa kepada penahanan pemand tersebut bagi membantu siasatan, kira-kira pukul 1.15 pagi tadi.

“Semakan mendapati lelaki itu mempunyai empat rekod jenayah lampau dan dibenarkan reman selama empat hari. Siasatan lanjut kes itu masih dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh,” jelasnya.

Ramli turut menasihatkan orang ramai tidak terus menularkan video tular kejadian itu bagi mengelak menimbulkan kegusaran awam.

Mereka yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, kejadian itu tular menerusi satu rakaman video berdurasi 49 saat di media sosial memaparkan seorang lelaki terjatuh di atas jalan sebelum dilanggar sebuah kereta.

Orang awam yang berada di lokasi kejadian kemudian menjerit meminta penunggang motosikal itu bangun menyelamatkan diri dan memarahi pemandu kereta tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN