Curi kabel: Tiga lelaki diberkas

Curi kabel: Tiga lelaki diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Polis percaya bahawa sekurang-kurangnya 13 kes kecurian kabel di sekitar Seberang Perai telah berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya tiga orang lelaki, semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia antara 31 hingga 33 tahun itu diberkas di Jalan Bukit Panchor di sini, kira-kira pukul 4.25 pagi.

Terdahulu katanya, sepasukan anggota polis yang sedang bertugas telah terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki suspek.

Hamzah berkata, pihaknya kemudian mengarahkan kenderaan terbabit berhenti untuk pemeriksaan kerana dilihat berada dalam keadaan yang mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan seterusnya menjumpai pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan mencuri kabel dalam kenderaan berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Hamzah, semakan lanjut mendapati, ketiga-tiga suspek masing-masing memiliki sembilan, 22 serta empat rekod kesalahan lampau membabitkan dadah dan jenayah.

“Setakat ini, kita percaya bahawa penangkapan suspek telah berjaya menyelesaikan sepuluh kes curi kabel di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan tiga kes di Seberang Perai Selatan (SPS).

“Ketiga-tiga suspek kini direman selama dua hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×