Tiada kompromi jika pegawai, anggota polis sebar gambar

Tiada kompromi jika pegawai, anggota polis sebar gambar Zayn Rayyan

SHAMSUL ANUAR Nasarah ditemui pada Sambutan Hari Ulang Tahun Rela Ke-52 di ALARM, Sungai Udang, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengingatkan semua pegawai dan anggota di bawahnya agar tidak menyebarkan sebarang maklumat atau gambar yang masih dalam siasatan dalaman.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas jika terdapat pegawai atau anggota yang didapati menyebarkan laporan siasatan dalaman kepada umum.

Tegasnya, jika didapati melanggar peraturan sedia ada, mereka boleh dihukum mengikut undang-undang dan pihaknya tidak akan berkompromi.

“Sama ada di KDN atau mana-mana agensi kita ada peraturan dan undang-udang. Sudah tentu menjadi harapan kita agar semua pegawai dan anggota mematuhi peraturan sedia ada.

“Apa juga kesalahan yang dilakukan tentu tindakan akan diambil berasaskan kepada peraturan yang ada,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Ke-52 di Akademi Rela Malaysia (ALARM), Sungai Udang di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, peguam bela keluarga Zayn Rayyan Abdul Matiin, Fahmi Abd. Moin menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai penyebaran gambar bedah siasat kanak-kanak autisme itu dalam aplikasi Telegram.

Ahad lalu, polis membuka kertas siasatan berhubung penyebaran beberapa gambar yang didakwa mempunyai kaitan dengan siasatan kematian Allahyarham Zayn Rayyan.

Sementara itu, siasatan kes penyebaran gambar didakwa mayat Allahyarham yang tular di media sosial dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972.

Tambah Shamsul Anuar, rakyat juga diingatkan merujuk kepada saluran yang tepat sama ada KDN atau PDRM berhubung sebarang isu.

Ujarnya, KDN mempunyai laman sesawang yang boleh diakses masyarakat bagi mendapatkan maklumat yang tepat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×