PETALING JAYA : Sepasang suami isteri maut manakala anak perempuanya terselamat dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan S21/18, Damansara Utama di sini, hari ini.
Maklumat Kejadian diterima pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor kira-kira pukul 5.13 pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sebuah jentera dan pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara dikerahkan ke lokasi kejadian bersama 10 anggota.
Setiba di lokasi berlaku kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat yang terbakar di tingkat atas bahagian bilik tidur utama dan bahagian bawah di dapur.
“Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan seorang remaja berusia 14 tahun, namun ibu, Leong Chen Mun, 55, dan bapanya Kang Tsi Yam, 61, maut dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Mukhlis berkata, api berjaya dikawal tidak lama kemudian dan kemusnahan dianggarkan kira-kira 70 peratus.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan pasukan anjing pengesan (K9) sudah dimaklumkan untuk hadir ke lokasi kejadian,” jelasnya.-UTUSAN










