MELAKA: Dua ketua jabatan Kerajaan Persekutuan di negeri ini bersama seorang pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terlibat membuat tuntutan palsu berkaitan program anjuran jabatan dan perpindahan pada 2023.
Salah seorang suspek dipercayai menggunakan dokumen invois bagi tujuan tuntutan palsu pembayaran program jabatan berjumlah kira-kira RM24,900.
Menurut sumber, suspek dipercayai menjadi perancang utama dan berpakat dengan pemilik syarikat untuk menggunakan invois yang mengandungi butir palsu iaitu tuntutan pembekalan, sedangkan pembekalan tersebut tidak pernah dilaksanakan bagi program berkenaan.
Sementara itu, seorang lagi suspek dipercayai membuat tuntutan palsu berkaitan perpindahan berjumlah hampir RM6,000 kepada jabatannya.
Kesemua suspek berusia awal 40-an ditahan di Pejabat SPRM Melaka, Alai di sini hari ini kira-kira pukul 2.30 petang semasa hadir memberi keterangan.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad mengesahkan penahanan itu dan tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa penjawat awam di kedua-dua jabatan untuk memberi keterangan.
“Ketua jabatan sepatutnya berpegang kepada prinsip amanah dan akauntabiliti dalam membersihkan jabatan mereka daripada sebarang perlakuan rasuah dan salah guna kuasa. Bukannya menjadi ‘duri dalam daging’ di jabatan masing-masing.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya ketika dihubungi.
Kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah esok untuk permohonan reman. – UTUSAN








