JIPS tahan DSP, inspektor bersama 6.8 liter air ketum

JIPS tahan DSP, inspektor bersama 6.8 liter air ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai enam individu termasuk dua pegawai kanan polis berpangkat deputi superintenden (DSP) dan inspektor ditahan bersama 6,800 mililiter (ml) dipercayai air ketum dalam satu serbuan di sebuah kediaman di Alor Gajah dekat sini, malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 malam itu, kesemua individu berusia 31 hingga 55 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, hasil pemeriksaan di premis berkenaan, polis merampas tiga botol lutsinar cecair ketum seberat 4,400 ml dan satu plastik berwarna kuning yang mengandungi tiga bungkus plastik lutsinar cecair ketum seberat 2,400 ml.

ZAINOL SAMAH

Katanya, turut dirampas sepasang uniform operasi polis dan sebuah besen berwarna hijau.

“Serbuan dilakukan di kediaman salah seorang anggota terbabit. Kesemua mereka adalah anggota polis yang bertugas di Kontinjen Melaka. Dua pegawai kanan yang ditahan berpangkat DSP dan inspektor masing-masing berusia 48 dan 36 tahun.

“Dua sarjan dan seorang lans koperal masing-masing berusia 55, 34 dan 31 tahun turut ditahan bersama seorang lelaki berusia 44 tahun yang bekerja sebagai kontraktor,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Zainol, permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat di Mahkamah Alor Gajah hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 30 (5) akta sama.

Menurutnya, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

“Polis akan memastikan kes disiasat secara telus dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang boleh memberikan implikasi negatif terhadap nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM). Operasi akan terus dijalankan untuk membersihkan sebarang anasir yang tidak baik daripada terus merebak.

“Pegawai polis yang menjadi gunting dalam lipatan sehingga menjejaskan kredibiliti serta keyakinan masyarakat terhadap polis perlu diambil tindakan sewajarnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×