MELAKA: Pembunuhan kejam R. Darvnrajh, 24, di tepi jalan Ladang Gadek, Kemuning, Alor Gajah dekat sini bermotifkan dendam angkara bermain mercun pada sambutan Deepavali, tahun lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, mangsa dipercayai dibunuh oleh enam suspek yang juga rakannya sendiri menggunakan parang panjang dengan cara ditikam dan ditetak.

Jelasnya, perasaan tidak puas hati dalam kalangan suspek bermula selepas keluarga mangsa membuat laporan polis terhadap kesemua mereka yang membawa mercun di kawasan taman perumahan berhampiran rumah mangsa.
Ujarnya, tindakan itu mengakibatkan mereka ditahan polis, selain mendakwa Darvnrajh bersikap berlagak selepas insiden berkenaan.
Katanya, pada 10 September lalu kira-kira pukul 5.30 pagi, keenam-enam suspek yang dalam keadaan mabuk telah terserempak dengan mangsa, lantas mengajak mangsa menaiki kereta jenis Proton Saga untuk minum arak.
“Semasa berada dalam kereta, suspek bertindak membelasah dan memukul mangsa dengan tangan dan membawa mangsa ke Kemuning. Di Kemuning, mangsa dipaksa keluar dari kereta.
“Kemudian, suspek mengambil parang panjang yang diletakkan dalam bonet kereta dan terus bertindak menetak dan menikam mangsa. Selepas itu, parang tersebut disimpan semula ke dalam bonet kereta dan mereka meninggalkan mangsa dan pulang ke rumah.
“Punca kejadian disebabkan salah faham, yang mana pada tahun lalu semasa Deepavali suspek telah membawa mercun menggunakan motosikal di kawasan taman perumahan berhampiran dengan rumah mangsa. Keluarga mangsa telah menegur dan ada membuat laporan polis menyebabkan suspek ditangkap. Selepas itu, mangsa dikatakan berlagak dan menyebabkan suspek marah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Semalam, polis mengesahkan bahawa mayat yang ditemukan dalam keadaan seperti hangus terbakar dalam semak di Alor Gajah, Sabtu lalu adalah pemuda itu.

Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan ke atas ahli keluarga Darvnrajh menunjukkan keputusan sepadan dengan mayat berkenaan.
Tambah Zainol, kesemua suspek berumur antara 18 hingga 26 tahun dan ujian saringan air kencing dijalankan mendapati mereka bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
“Permohonan reman ke atas semua individu tersebut dibenarkan sehingga 24 September 2023 dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan hukuman gantung sampai mati,” katanya. – UTUSAN