JAIM minta bantuan PDRM, Interpol kesan Suhaini Mohammad

JAIM minta bantuan PDRM, Interpol kesan Suhaini Mohammad

RAHMAD Mariman (enam dari kiri) ketika Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat JAIM yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh (enam dari kanan) di Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengesahkan bahawa pengikut ajaran sesat Suhaini Mohammad yang mengakui Nabi Muhammad sebagai tuhan dikesan cuba melarikan diri ke New Zealand beramai-ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia dipercayai untuk mengikuti pengasas ajaran mereka yang kini berada di negara itu.

Beliau berkata, dianggarkan terdapat sekurang-kurangnya 20 pengikut ajaran sesat berkenaan di Melaka dan perkara itu terbongkar selepas JAIM menahan seorang pengikut berusia 38 tahun kira-kira pukul 8.30 malam di kediamannya di Jasin dekat sini, 23 Jun lalu.

Jelasnya, satu kertas siasatan telahpun dibuka pada 20 Mac 2023 susulan klip video tular yang memaparkan dua lelaki mengatakan Rasulullah adalah Allah.

“Ketika serbuan keluarga ini sedang bersiap sedia dipercayai ingin berangkat ke New Zealand untuk bersama dengan pengasas ajaran sesat itu yang telahpun berada di sana.

“Siasatan lanjut dijalankan turut mengesyaki terdapat pengikut-pengikut Suhaini Bin Mohammad di negeri lain yang akan berhijrah ke sana,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat JAIM di Ayer Keroh di sini, semalam.

Pada Mei 2021, Jawatankuasa Fatwa Johor memutuskan fahaman dan ajaran diasaskan Suhaini atau Suhai Ibni Mohammad atau Si Hulk atau apa juga nama atau gelaran yang dikaitkan dengannya adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan penelitian dan perbincangan Jawatankuasa Fatwa Johor yang bersidang pada 28 September 2020.

Tambah Rahmad, JAIM telah meminta bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan lokasi Suhaini untuk tindakan seterusnya.

“Pengasas ajaran itu berasal dari Melaka dan aktiviti ini dikesan aktif sejak tahun lepas lagi. Jawatankuasa Fatwa Melaka juga telah bermesyuarat dan memutuskan bahawa ajaran Suhaini Bin Mohamad atau dipanggil Si Hulk menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam.

“Kita telah meminta bantuan PDRM dan Interpol untuk mengesan lokasi pengasas itu bagi tindakan lanjut,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN