Masih ramai degil merokok di premis makanan

Masih ramai degil merokok di premis makanan

ANTARA individu yang dikompaun selepas dipercayai merokok di kawasan premis makanan di Bukit Beruang, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sikap degil menyebabkan segelintir pelanggan masih merokok di kawasan premis makanan, meskipun tanda larangan sudah dipamerkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem berkata, golongan muda paling ramai ditahan kerana menghisap rokok di meja makan dalam Operasi Khas Penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 yang dijalankan di sekitar Melaka Tengah di sini, malam tadi.

Menurutnya, sebanyak 150 notis kesalahan membabitkan nilai kompaun RM41,250 dikeluarkan kepada individu yang dikesan merokok di premis makanan.

“Sebanyak 80 premis makanan telah diperiksa dalam operasi selama dua hari bermula semalam membabitkan 45 anggota penguatkuasa Jabatan Kesihatan, Unit Inspektorat serta Perundangan.

“Premis yang diperiksa membabitkan 49 restoran, 23 kedai makan, tujuh gerai dan sebuah premis menjual vape. Masih terdapat ramai pengunjung di premis makanan terutama golongan muda berdegil dan tidak mempedulikan tanda larangan menghisap rokok.

“Begitu juga sebanyak sembilan pemilik premis turut diberi amaran dan notis kerana ketiadaan tanda larangan merokok di premis mereka,” katanya kepada pemberita selepas selesai operasi di sekitar Bukit Beruang.

Tambah Hee Sem, operasi tersebut digerakkan selepas pihaknya menerima sebanyak 107 aduan berhubung ketidakpatuhan orang ramai terhadap larangan merokok di kawasan tidak dibenarkan.

Menurutnya, sepanjang tempoh penguatkuasaan dari Januari hingga April tahun ini, sebanyak 886 notis kesalahan telah dikeluarkan.

“Sebanyak 845 notis telah dikeluarkan atas kesalahan merokok di kawasan larangan termasuk larangan merokok bagi orang belum dewasa (OBD). Daripada jumlah tersebut, sebanyak 207 notis dikeluarkan atas kesalahan merokok di tempat makan membabitkan kompaun bernilai RM204,100,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya