Lari bertempiaran tinggalkan 4.8 juta batang rokok keretek

Lari bertempiaran tinggalkan 4.8 juta batang rokok keretek

SAIFUL LIZAN Ibrahim (tengah) menunjukkan rokok keretek yang dirampas menerusi Op Khas Pagar Laut di Ibu Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di Kuala Linggi, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup masuk 4.8 juta batang rokok keretek yang dianggarkan bernilai RM3.3 juta di perairan muara Tanjung Gabang, Selangor pada Selasa lalu.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, hasil risikan dan bantuan Sistem Pengawasan Laut (Swasla) mengesan sebuah bot pancung bergerak dalam keadaan mencurigakan di laluan Traffic Separation Scheme (TSS) ke Tanjung Gabang pada pukul 10.20 malam.

Menurut beliau, suspek bertindak memecut laju sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

“Berlaku kejar-mengejar kira-kira 30 minit membabitkan sebuah bot APMM dengan kekuatan lima anggota. Bagaimanapun, bot pancung yang dipercayai dari Indonesia itu tersasar dan memasuki kawasan paya bakau.

“Seramai empat hingga lima suspek bertindak meninggalkan bot dan berjaya meloloskan diri. Pemeriksaan ke atas bot berwarna kelabu tanpa nombor pendaftaran itu menemukan 455 kotak besar yang mengandungi pelbagai jenama rokok.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot pancung dan enam enjin jenis Yamaha berjumlah RM3.53 juta,” katanya dalam sidang akhbar rampasan rokok seludup di Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Tambah Saiful Lizan yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim, rokok keretek yang dirampas menerusi Op Khas Pagar Laut itu disyaki diseludup masuk dari negara jiran untuk dijual secara haram di pasaran Semenanjung.

Katanya, APMM tidak menolak kemungkinan penyeludupan rokok berkenaan turut melibatkan sindiket.

“Seperti yang saya katakan, suspek hanya menunggu isyarat untuk masuk sebelum memindahkan rokok ke dalam kenderaan yang sedang menunggu. Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana menyeludup masuk rokok ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan atau duti eksais,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN