KPDNHEP Pahang rampas jersi tiruan bernilai RM3,000 - Utusan Malaysia

KPDNHEP Pahang rampas jersi tiruan bernilai RM3,000

ANTARA jersi tiruan yang dirampas di dua premis di tapak Bazar Aidilfitri perkarangan Stadium Darul Makmur, di Kuantan, Pahang dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM3,000.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang merampas jersi tiruan yang dijual dengan nilai rampasan RM3,000 di dua premis perniagaan tapak Bazar Aidilfitri Perkarangan Stadium Darul Makmur, di sini, semalam.

Pengarah KPDNHEP Pahang, Datuk Mark Ujin berkata, pihaknya menerima aduan daripada sebuah syarikat pemilik cap dagang HAKKA tentang penjualan jersi tiruan pasukan bola sepak Sri Pahang.

Katanya, pihak KPDNHEP Pahang kemudiannya telah bertindak membuat pemeriksaan ke atas beberapa premis di tapak Bazar Aidilfitri perkarangan Stadium Darul Makmur, sini.

“Tiga pasukan penguat kuasa telah ditugaskan bagi pemeriksaan tersebut yang turut disertai oleh pengadu. Hasil pemeriksaan mendapati dua premis perniagaan telah menjual jersi tiruan pasukan bola sepak Sri Pahang. 

“Proses pengecaman awal ketulenan jersi-jersi tersebut telah dilakukan sendiri oleh pemilik cap dagang itu dan pengadu mengesahkan bahawa jersi-jersi tersebut adalah tiruan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Mark, tindakan tegas diambil ke atas peniaga terlibat dengan menyita semua jersi tiruan yang dijual dan kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019 kerana menjual atau menawarkan atau mendedahkan bagi jualan barang-barang yang cap dagangan dipakaikan dengan salah. 

“Jika disabitkan kesalahan, peniaga ini boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Katanya lagi, KPDNHEP Pahang sentiasa berusaha memastikan peniaga menjalankan urusniaga dengan penuh beretika. 

“Selain menguatkuasakan pematuhan penandaan harga barangan jualan, Kementerian ini juga tidak akan berkompromi dalam hal-hal berkaitan penjualan barangan tiruan.

“Kami berharap tindakan tegas ini dapat menjadi pengajaran kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi perundangan termasuk dengan tidak menjual barangan tiruan seumpama ini pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut menasihatkan kepada pengguna agar sentiasa berhati-hati di dalam melakukan pembelian sama ada secara dalam talian ataupun di premis-premis fizikal agar tidak mudah terpedaya dengan taktik penjualan barangan tiruan ini.

Sekiranya pengguna mempunyai maklumat mengenai aktiviti penjualan barangan tiruan ini, salurkan kepada KPDNHEP Pahang melalui pelbagai medium penyaluran aduan yang telah disediakan. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya