MAKASSAR: Sebanyak 12,000 penduduk yang terkandas di Sulawesi Selatan mengalami masalah kekurangan bekalan air untuk keperluan harian berikutan banjir besar dan tanah runtuh yang melanda kawasan itu.
Salah seorang penduduk, Sitti Rahmawaty berkata, keperluan mendesak ketika ini ialah bantuan air bersih dan logistik.
“Kita memang amat perlukan air bersih, secawan air mineral pun susah untuk didapati. Nasi pun penting, walaupun kita masih boleh makan betik dan buahan-yang ada.
“Paling penting makanan untuk anak-anak,” kata Rahmawaty ketika bertemu Pemangku Gabenor Sulawesi Selatan, Bahtiar Baharuddin.
Sitti juga berkata, seorang daripada ahli keluarganya masih belum ditemui dan diisytiharkan hilang ketika banjir membadai daerah Wajo.
“Pakcik saya pergi ke sawah, arus deras yang muncul tiba-tiba menghanyutkannya. Pasukan penyelamat masih mencari dan yang kami temui hanyalah topinya,” katanya dipetik CNN Indonesia.
Sementara itu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membina pos bencana banjir bersepadu yang turut berfungsi sebagai pusat kesihatan kecemasan kerana kemudahan di lokasi tersebut masih ditenggelami air.
“Kami menerima 35 mangsa banjir dengan pelbagai aduan seperti sakit dan gatal akibat lumpur. Kami sedia merujuk pesakit ke hospital jika perlu,” kata Ketua Pusat Kesihatan Masyarakat Pitumpanua, Susanny Said.
Sementara itu, Polis Sulawesi Selatan mengerahkan dua helikopter untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terkandas akibat bencana banjir dan tanah runtuh di daerah Luwu dan Sidenreng Rappang sejak Jumaat lalu.
Menurut Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh di dua daerah berkenaan yang turut menenggelamkan lima buah kampung, menyebabkan lebih 1,385 keluarga terjejas, dan 1,970 rumah rosak.
Pemangku Bupati Luwu, Muhammad Saleh berkata, keadaan banjir kini sudah mula surut, namun penduduk masih tidak dibenarkan pulang sehingga keadaan disahkan selamat.










