Kes tiga kanak-kanak keluar badan tingkap kereta dirujuk Timbalan Pendakwa Raya - Utusan Malaysia

Kes tiga kanak-kanak keluar badan tingkap kereta dirujuk Timbalan Pendakwa Raya

MIOR Faridalathrash Wahid menyampaikan pelitup muka kepada pelajar pada program Hari Pertama di Sekolah di SMK Raja Perempuan, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis telah melengkapkan siasatan berhubung rakaman aksi berbahaya tiga kanak-kanak duduk di tingkap sebuah kereta yang sedang bergerak di atas jalan raya pada 22 Mac lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kertas siasatan kes itu juga telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan dan tindakan selanjutnya.

“Kita telah tahan suspek atau bapa kepada tiga kanak-kanak itu untuk siasatan dan dia telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Siasatan kes itu telah selesai dan dirujuk untuk penelitian pihak pendakwaan. Kita sedang menunggu arahan lanjut berkaitan kes itu,” katanya ketika ditemui selepas program ‘Hari Pertama di Sekolah’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan di sini hari ini.

Media pada 24 Mac lalu melaporkan, video berdurasi satu minit dua saat yang memaparkan tiga kanak-kanak berpakaian seragam sekolah mengeluarkan separuh badan di tingkap kereta jenis Mercedes-Benz ketika kenderaan itu sedang bergerak di jalan raya.

Video tersebut mengundang kritikan warga maya yang rata-rata mengecam tindakan pemandu kereta berkenaan yang tidak menegah aksi berbahaya kanak-kanak itu dalam keadaan kereta dipandu laju.

Susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 37 tahun yang juga bapa kepada kanak-kanak itu ditahan reman dua hari untuk siasatan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001.

Sementara itu, mengulas lawatannya ke SMK Raja Perempuan, beliau berkata, program yang diadakan serentak di seluruh negara itu diharap dapat mengeratkan hubungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan warga sekolah sekaligus meningkatkan kerjasama sosial termasuk berkaitan masalah disiplin pelajar.

“Pemantauan secara berkala turut dilakukan pegawai perhubungan sekolah (PPS) dan elemen lain seperti Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB),” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, polis akan terus menjalankan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) termasuk di bazar-bazar Ramadan meskipun negara telah memasuki fasa peralihan endemik bermula 1 April lalu.

Katanya, SOP yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu dipatuhi sepenuhnya bagi memastikan tiada penularan Covid-19 di bazar Ramadan.

“Kita tidak mahu bazar Ramadan menjadi tempat penularan wabak Covid-19. Oleh itu, polis bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menjalankan pemantauan bagi memastikan SOP dipatuhi,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya