KOTA BHARU: Aktiviti ladang hutan berskala besar yang menggunakan kaedah tebang habis atau ‘cuci mangkuk’ didakwa menjadi punca utama kemusnahan hutan di hulu Kelantan, sekali gus mengancam kehidupan masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Ab. Ghani berkata, tekanan terhadap kawasan hutan kini semakin kritikal apabila keluasan projek ladang hutan jauh mengatasi aktiviti pembalakan terkawal di bawah Catuan Tebangan Hutan Tahunan (CTT).
“Isu ini bukan sekadar soal tanah, tetapi melibatkan kelangsungan hidup, budaya dan sumber rezeki masyarakat Orang Asli.
“Harus diingat mereka (Orang Asli) bergantung sepenuhnya kepada hutan yang merupakan nadi utama kehidupan mereka termasuk dalam aspek ekonomi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Azmawi yang juga Ketua Pemuda UMNO negeri memberitahu, pembukaan hutan secara meluas telah menjejaskan kawasan rayau tradisi selain merosakkan sumber air dan keseimbangan ekosistem yang menjadi nadi kehidupan komuniti tersebut.
Katanya, lebih membimbangkan data menunjukkan ketidakseimbangan ketara antara kawasan ditebang dan usaha penanaman semula, dengan kadar penanaman semula kurang daripada 30 peratus.
“Pada tahun 2021, sebanyak 6,038 hektar ladang hutan diluluskan berbanding hanya 1,277 hektar CTT. Trend sama berterusan apabila lebih 5,700 hektar diluluskan pada 2024 dan lebih 4,300 hektar pada 2025.
“Ini menunjukkan impak sebenar terhadap hutan jauh lebih besar daripada yang digambarkan,” ujarnya.
Mohd. Azmawi mendakwa beberapa projek ladang hutan di Hutan Simpan Kekal (HSK) seperti di Perias Ulu Nenggiri, Sungai Brok dan Relai Balah melibatkan pembukaan ratusan hektar kawasan hutan.
Katannya, kesan daripada aktiviti tersebut sudah mula dirasai penduduk apabila berlaku peningkatan konflik hidupan liar, pencemaran sumber air serta kemerosotan kualiti alam sekitar.
“Jadi saya mendesak kerajaan negeri mengambil tindakan segera termasuk menilai semula semua kelulusan projek ladang hutan dan menghentikan sementara kelulusan baharu.
“Kita perlu utamakan pemeliharaan alam sekitar serta hak komuniti Orang Asli sebelum keadaan menjadi lebih parah,” katanya.-UTUSAN










