Baby Adam: Kertas enkuiri polis dibuka - Utusan Malaysia

Baby Adam: Kertas enkuiri polis dibuka

Siti Kamsiah Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia membuka siasatan di bawah kertas enkuiri polis (KEP) bagi meneliti semula kes melibatkan kematian bayi lelaki berusia 10 bulan bernama Muhammad Adam Rizqi Abdul Azim atau Baby Adam pada 2020 dan menyeru mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil memberi keterangan kepada pihak polis.

Ini susulan laporan polis dibuat Pejuanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mendakwa kematian Baby Adam ada kaitan dengan isu penderaan di pusat perlindungan Rumah Bonda di Taman Setapak di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, pihaknya akan menyemak semula kes tersebut di bawah KEP bagi menyiasat dakwaan-dakwaan tersebut.

Bagaimanapun, menurut beliau, siasatan polis sebelum ini mendapati tiada sebarang unsur jenayah berhubung kematian Adam.

“Hasil penelitian polis terhadap laporan bedah siasat ke atas Adam yang dikeluarkan pihak Hospital Kuala Lumpur, menunjukkan punca sebenar kematiannya adalah disebabkan pneumonia (radang paru-paru).

“Semakan pihaknya turut mendapati satu laporan dibuat oleh pemilik Rumah Bonda berhubung kematian Adam,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Dalam pada itu, Siti Kamsiah berkata, pihaknya turut menjalankan siasatan dan pemantauan menyeluruh berhubung kejadian yang membabitkan Rumah Bonda rentetan laporan yang berkaitan remaja perempuan sindrom down iaitu Bella.

“Secara keseluruhannya terdapat kira-kira 10 laporan polis diterima terhadap pemilik Rumah Bonda terutamanya selepas kes berkaitan Bella dilapor dan didedahkan.

“Ada kes-kes yang dibuka kertas siasatan dan ada kes yang tidak dibuka kertas siasatan kerana didapati tiada unsur jenayah.

“Ini termasuk laporan membabitkan kematian Baby Adam yang dibuat sendiri oleh pemilik Rumah Bonda, kita semak juga.

Kelmarin, media melaporkan Pejuanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membuat satu laporan polis di Balai Polis Setiawangsa dekat sini meminta polis supaya membuka semula kertas siasatan membabitkan kematian Adam. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN