Ambil tindakan tegas dalang rusuhan, lolos depot - Utusan Malaysia

Ambil tindakan tegas dalang rusuhan, lolos depot

Dalang kejadian lebih 500 pelarian Rohingya lolos daripada depot tahanan sementara perlu dikenakan tindakan tegas. -gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Persatuan Rohingya Malaysia Kedah meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap dalang yang membuat perancangan bagi membolehkan tahanan melarikan diri beramai-ramai dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu dekat sini, semalam.

Pengerusinya, Yusof Ali berkata, tindakan itu jelas tidak menghormati undang-undang negara ini selain menyusahkan tahanan itu sendiri sehingga ada antara mereka termasuk kanak-kanak terkorban dalam kemalangan jalan raya.

Tegasnya, tindakan itu disyaki didalangi oleh individu tertentu yang sudah lama ditempatkan di situ ketika mereka yang baru tiba sudah pasti belum tahu akan selok-belok lokasi tersebut.

“Apabila ada sekelompok yang jahat melarikan diri, yang lain-lain pun akan ikut juga kerana terpengaruh untuk mendapatkan kebebasan. 

“Tetapi, sebagai masyarakat Rohingya, kita perlu sedar bahawa kita tidak memiliki apa-apa di sini dan hanya mengharapkan bantuan dari kerajaan serta Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) saja.

“Jadi, tak ada gunanya melanggar undang-undang di negara ini. Apabila sudah berlaku kematian termasuk melibatkan anak-anak seperti dalam kes ini, sudah tentu keadaan jadi lebih susah dan sebab itu saya harap mereka yang buat jahat itu (Menjadi dalang melarikan diri) dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Yusof berkata, dia percaya bahawa tindakan melarikan diri beramai-ramai itu juga ada kaitan dengan tahap pemikiran masyarakat Rohingya tersebut yang rata-ratanya tidak berpendidikan akibat kekejaman rejim di tanah air mereka.

“Akibat diseksa sejak dari zaman kanak-kanak, ada kalanya hati mereka ini menjadi rosak. Rata-rata masyarakat kami juga tidak ada pendidikan menyebabkan pemikiran masing-masing agak singkat.

“Ada kalanya mereka mungkin tak tahu akibat yang diterima jika melanggar undang-undang dan melakukan sesuatu perkara yang tidak baik. Sebab itu, saya selalu berpesan kepada kaum kami sendiri agar sentiasa akur dengan undang-undang Malaysia selain hormat rakyat di sini tanpa mengira kaum apa pun,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan semua kaum Rohingya yang lain agar menyerahkan semula tahanan terlibat kepada pihak berkuasa dan tidak memberi perlindungan kepada golongan tersebut.

“Walau siapa pun mereka sama ada ayah, adik, kakak atau abang, kaum Rohingya yang lain tidak sepatutnya memberi perlindungan kepada tahanan tersebut. Tindakan itu jelas sekali menyalahi undang-undang negara ini.

“Setahu saya, sesiapa yang melindungi golongan itu, turut boleh dikenakan tindakan tegas. Tetapi, saya juga memohon kepada rakyat negara ini supaya tidak memukul atau mencederakan tahanan-tahanan itu kerana mereka juga seperti saya nyatakan tadi, mungkin tidak sedar bahawa perbuatan itu hanya menyulitkan keadaan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.