KUANTAN: Bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat , Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman meninggal dunia di Hospital Serdang pukul 11.23 malam tadi.
Allahyarhamah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO dan bekas Ahli Parlimen Paya Besar, berusia 75 tahun.
Difahamkan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam, Selangor pada 11.30 pagi ini.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran Datuk Seri Shahaniza Samsuddin turut berkongsi berita sedih itu di Facebooknya.
“Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman baru sahaja di jemput menemui penciptanya (11:23pm). Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman.
“Banyak arwah titipkan nasihat dan pesanan kepada saya selama ini. Pastinya akan saya simpan kemas dalam hati sebagai azimat dan panduan, ” katanya.
Siti Zaharah yang dilahirkan pada 24 April 1949 merupakan Pengerusi Institut Kemajuan Wanita Malaysia (IKWAM).
Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan antaranya Timbalan Perancangan, Dewan Bahasa dan Pustaka (1980-1986), Timbalan Menteri, Jabatan Perdana Menteri (1986), Timbalan Menteri Kesihatan (1995-1999) dan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat (1999-2004).
Dalam arena politik, beliau pernah memegang jawatan Ketua Wanita UMNO Pahang, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ahli Parlimen Paya Besar dan Ketua Wanita UMNO. – UTUSAN










