SAUDARA PENGARANG,
Perbalahan dan pertikaian tentang isu yang terkait dengan takrifan ahli Sunnah wal Jamaah perlu dirungkaikan dengan lebih beradab dan menjunjung tinggi semangat ukhuwah sesama Muslim.
Umat Islam perlu mendepani cabaran yang dilihat mampu menggugat prinsip asal dan roh Islam yang dipasak kukuh dengan kekuatan iman yang luar biasa semasa pembinaan Madinah.
Paling menyedihkan umat terus hanyut dan alpa dengan segala perselisihan yang tidak memberikan keuntungan pada agama Islam bahkan hanya membawa kepada sikap asabiyyah (ketaksuban melampau) yang dibenci agama dan disukai Iblis.
Umat Islam semakin leka dan lalai dalam melihat keluasan agama dan kemaslahatan yang lebih baik terhadap prinsip dan roh perjuangan Islam yang memiliki aspek syumul (lengkap) dan fleksibel berbanding pemikiran sempit dan hanya membuang masa pada perkara yang remeh temeh.
Golongan agamawan juga tidak terlepas melakukan dosa dan sedikit kesilapan mampu mengheret perbalahan di antara umat Islam yang lain hanya kerana berbeza aliran dan pemikiran ditambah seruan kepada kebencian kepada pihak yang bertentangan dengan pemikiran mereka.
Bagi merungkai ‘penyakit berjangkit’ yang melanda umat sejak ratusan tahun lampau, maka sudah tiba masanya kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan rundingan secara harmoni.
Pendekatan yang lebih menekankan konsep rahmah dan ihsan mampu memberikan penyelesaian terhadap pertikaian yang sering timbul.
Semoga dengan perundingan dan pendekatan yang berhikmah memenuhi disiplin ilmu menghasilkan keputusan tepat.
Malaysia adalah sebuah negara yang menyeru rakyat khususnya umat Islam menghayati semangat kenegaraan yang dibina oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW di bumi Madinah sehingga melahirkan ramai sahabat RA yang sentiasa menjaga kemurnian agama dan berjaya mengangkat Islam ke pelosok dunia.
Generasi Malaysia sewajarnya menghidupkan kembali sunnah yang ditinggalkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW agar limpahan rahmat dan berkat dari-Nya sentiasa tercurah di bumi Malaysia tercinta. Semai kasih sayang dan tolak kebencian yang hanya merugikan umat Islam.-UTUSAN
DR. Zuraimy Ali
Pensyarah Kanan Akademi Pengajian
Islam Kontemporari (ACIS) Universiti
Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis.










