Suri rumah lesap RM57,508.73 tertipu tawaran kerja - Utusan Malaysia

Suri rumah lesap RM57,508.73 tertipu tawaran kerja

ELIAS OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang suri rumah mengalami kerugian RM57,508.73 dipercayai tertipu dengan satu iklan kerja kosong yang ditawarkan di aplikasi media sosial, Facebook.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Kontinjen Kedah, Superintenden Elias Omar, mangsa yang berusia 24 tahun menemukan iklan tawaran pekerjaan sambilan secara dalam talian itu yang dipautkan dalam sebuah portal e-dagang terkemuka, Zalora. 

“Mangsa menekan pautan WhatsApp yang diberikan itu dan menyertai satu kumpulan Whatsapp bernama Group 929 Partner Assignment. Mangsa juga diminta untuk menghubungi dengan Khidmat Pelanggan yang memperkenalkan diri sebagai, Adam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, mangsa yang terperdaya diberikan beberapa tugas oleh ‘Adam’ dan diminta untuk membeli pelbagai barangan melalui laman web, www.zalora.com serta dijanjikan komisen yang lumayan bagi setiap pembelian melalui laman web Zalora itu.

“Mangsa membuat pembayaran ke 13 akaun yang berbeza bagi pembelian pelbagai barangan yang diminta oleh ‘Adam’. 

“Penipuan ini disedari oleh mangsa setelah dia diminta untuk membuat pembayaran ke akaun suspek untuk pelbagai alasan, namun, sehingga kini, masih belum menerima komisen yang dijanjikan,” katanya.

Tambah beliau, mangsa akhirnya membuat satu laporan polis di Balai Polis Alor Setar semalam.

“Satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu).

“Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pekerjaan dalam talian yang menjanjikan komisen yang lumayan. Jangan mudah percaya dan jangan terlalu mudah untuk membuat sebarang pindahan wang kepada individu yang tidak dikenali,” katanya.

Tambahnya, sebarang pertanyaan orang orang boleh menghubungi CCIS Response Center di talian, 03 26101559/1599. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN