Lelaki lalok dadah libas polis dengan parang - Utusan Malaysia

Lelaki lalok dadah libas polis dengan parang

KECEDERAAN pada tangan salah seorang anggota polis akibat dilibas dengan parang dalam kejadian amuk di Kampung Sedar, Tumpat baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Empat anggota dan pegawai polis cedera akibat terkena libasan sebilah parang ketika bergelut dengan seorang lelaki di bawah pengaruh dadah yang mengamuk di Kampung Sedar, di sini, minggu lalu.

Dalam kejadian pukul 8.30 malam, Koperal Mohamad Firdaus Mohd. Jamil cedera parah di belakang kepala manakala pegawai berpangkat Inspektor, Mohd. Afifi Jamaluddin cedera di lengan dan menerima lapan jahitan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd. Azmir Damiri berkata, seorang lagi pegawai berpangkat Inspektor, Chong Yeong serta Lans Koperal Muhammad Anuar Saidi Azmi pula masing-masing luka ringan di belakang badan dan tangan.

“Pegawai dan anggota yang cedera dihantar ke Hospital Tumpat untuk rawatan lanjut dan keadaan mereka semua terutama Koperal Mohamad Firdaus dan Inspektor Mohd. Afifi yang parah sudah semakin pulih.

“Ekoran kejadian itu, polis menahan suspek berusia 36 tahun yang dipercayai mengamuk kerana di bawah pengaruh dadah jenis pil kuda,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Balai Polis Wakaf Bharu, di sini hari ini.

Mohd. Azmir berkata, sebelum kejadian, dua pegawai dan dua anggota terbabit ke lokasi kejadian bagi menahan suspek yang dilaporkan sedang mengamuk sebaik sahaja menerima maklumat orang awam.

“Ketika mereka cuba menangkapnya, suspek melawan dan bertindak melibas parang dipegangnya. Empat anggota kita itu telah tercedera ketika dalam pergelutan untuk menahan suspek.

“Hasil ujian saringan air kencing, suspek positif dadah jenis pil kuda selain turut didapati mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah serta Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berbahaya,” katanya. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN