PETALING JAYA: Seramai 87 pengunjung yang leka berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Puncak di sini dikejutkan dengan kehadiran pihak polis yang menyerbu sebuah premis di ibu negara awal pagi, hari ini.
Dalam serbuan kira-kira pukul 1.45 pagi itu, kesemua 31 pengunjung lelaki dan 56 pengunjung wanita turut dikenakan tindakan kompaun berjumlah RM87,000.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti pusat hiburan yang beroperasi semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati seramai 87 individu berada di pusat hiburan berkenaan melibatkan 62 warga tempatan dan 25 warga asing.
“Mereka didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) PPN Fasa 4 yang ditetapkan dan masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang mengikut Peraturan 16(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021
“Pihak polis turut menjalankan ujian saringan air kencing dan tiga pengunjung didapati positif dadah jenis THC serta methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, ketiga-tiga suspek direman dua hari sehingga esok bagi siasatan lanjut.- UTUSAN ONLINE