Macau Scam: Wang simpanan penyelia dan peniaga RM433,000 lesap - Utusan Malaysia

Macau Scam: Wang simpanan penyelia dan peniaga RM433,000 lesap

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang penyelia dan peniaga mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM433,000 selepas terpedaya dengan helah sindiket Macau Scam. 

Kedua-dua individu terbabit terpedaya apabila menerima panggilan daripada suspek yang bukan sahaja menyamar sebagai wakil dari syarikat kurier dan pegawai  Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), malah pegawai polis. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kes terbaharu di daerah Bentong, dekat sini itu melibatkan seorang penyelia yang kerugian RM263,000 dan seorang lagi peniaga rugi sebanyak RM170,000.

Menurutnya, dalam kes pertama melibatkan penyelia berusia 39 tahun yang kononnya menerima panggilan antarabangsa daripada wakil syarikat kurier sekitar tahun 2020 memaklumkan terdapat satu bungkusan atas namanya mengandungi kad pengenalan dan satu bungkusan lain dipercayai dadah. 

“Panggilan itu, kemudian disambung ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sabah dan mangsa bercakap dengan seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis. 

“Mangsa dimaklumkan dirinya terlibat dengan pengedaran dadah, namun, suspek bersedia membantu mangsa untuk melupuskan kesalahan itu dengan memasukkan sejumlah wang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mohd. Wazir berkata, mangsa  mengadakan perbincangan dan bersetuju dengan syarat suspek kerana bimbang dirinya akan ditahan serta didakwa. 

“Mangsa telah melakukan 20 transaksi bermula November 2020 hingga awal Januari lalu berjumlah keseluruhannya RM263,000. 

“Mangsa telah melakukan semua transaksi secara dalam talian dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Genting Highlands ke dalam akauan berbeza diberikan suspek,” katanya.

Sementara itu, bagi kes kedua, Mohd. Wazir berkata, mangsa yang merupakan peniaga menerima panggilan daripada dua individu yang menyamar sebagai pegawai LHDN dan juga polis. 

Katanya, mangsa dikatakan mempunyai cukai tertunggak seterusnya dituduh terlibat dengan kegiatan penjualan dadah dan cuci wang. 

“Suspek meminta mangsa memasukkan sejumlah wang bagi menutup kesalahan itu dan bagi memudahkan urusan pembayaran, mangsa telah menyerahkan kod pengesahan transaksi (TAC) kepada suspek bagi tujuan pemindahan wang. 

“Mangsa kemudian, menyemak akaun bank miliknya mendapati wang RM170,000 lesap dan merasakan dirinya telah menjadi mangsa Macau Scam,” katanya. 

Tambah beliau, susulan itu, kedua-dua mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, semalam. 

“Pihak polis akan membuat siasatan berkenaan laporan tersebut mengikut Seksyen 420 kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya