GEAR-uP selaras hala tuju pelaburan GLIC

GEAR-uP selaras hala tuju pelaburan GLIC

LIEW CHIN TONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) menjadi mekanisme utama kerajaan dalam menyelaras hala tuju pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan dana awam agar sejajar dengan keutamaan pembangunan negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, penyelarasan itu berpaksikan kerangka Ekonomi Madani yang menetapkan matlamat untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan 30 ekonomi terbesar dunia selain mengembalikan 45 peratus pendapatan negara kepada pekerja.

Katanya, keutamaan pelaburan turut dipandu dasar pembangunan negara termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

“GEAR-uP yang diperkenalkan pada Ogos 2024 menggembleng enam GLIC utama iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Menerusi program itu, keenam-enam GLIC berkenaan melaksanakan komitmen Pelaburan Langsung Domestik (DDI) berjumlah RM120 bilion bagi tempoh 2024 hingga 2028, di samping RM440 bilion pelaburan sedia ada dalam pasaran awam domestik,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Rosni Sohar berhubung dasar dan mekanisme yang digunakan kerajaan untuk menyelaras hala tuju pelaburan GLIC dan dana awam agar sejajar dengan keutamaan pembangunan negara khususnya dalam sektor ekonomi strategik yang berimpak tinggi.

Chin Tong berkata, GLIC menumpukan pelaburan dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi yang memenuhi pertimbangan komersial serta selaras dengan mandat fidusiari masing-masing untuk menjana pulangan mampan kepada pencarum dan pemegang unit amanah.

Katanya, penyelarasan itu turut diperluaskan kepada 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mulai 2025 dengan GEAR-uP berfungsi sebagai platform penyelarasan strategik bagi mengukuhkan pelaksanaan agenda pembangunan negara.

“Setiap ringgit modal institusi dirancang untuk menggembleng penyertaan modal swasta (crowding-in).

“Pelaksanaan program ini berkembang mengikut tiga fasa yang jelas. Pada 2024, kerajaan bersama GLIC menetapkan hala tuju dan memeterai komitmen, manakala pada 2025 modal mula digerakkan menerusi dana seperti Jelawang Capital, Dana Perintis, Dana Pemacu dan Dana Iklim+,” katanya.

Beliau berkata, hasil pelaburan yang dilaksanakan menerusi program itu mula dituai pada tahun ini apabila memberi manfaat di peringkat syarikat dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Katanya, antara contoh pelaburan yang dilaksanakan ialah sokongan kepada firma reka bentuk cip tempatan SkyeChip sehingga disenaraikan di bursa, selain pelaburan strategik Khazanah dalam syarikat teknologi global Syntiant yang membawa pemindahan teknologi ke Malaysia serta mewujudkan kira-kira 800 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di Pulau Pinang.

“Dalam agroindustri, Khazanah turut membiayai syarikat agriteknologi tempatan seperti Aonic bagi memodenkan pengeluaran huluan, manakala KWAP menyokong pengembangan jenama tempatan seperti Mamee dan ZUS Coffee menjadi juara serantau.

“Manfaat penyelarasan ini kembali kepada rakyat melalui pulangan kepada lebih 18 juta ahli KWSP, lebih 11 juta pemegang unit amanah PNB serta pencarum LTAT dan pendeposit TH.

“Pada masa sama, ia mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, memperkukuh ekosistem vendor dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pembangunan bakat menerusi platform Bakat Madani,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN