IPOH: Pembukaan jajaran Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dijangka dapat direalisasikan sepenuhnya mengikut jadual pada suku pertama tahun depan.
Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Libat Urus West Coast Expressway Holdings Berhad (WCEHB), Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid berkata, perkembangan positif itu sebagai penunjuk aras rangkaian lebuh raya sepanjang 233 kilometer (km) yang menghubungkan Banting, Selangor hingga Taiping, Perak kini berada pada fasa akhir pelaksanaannya selepas pembinaannya bermula pada 2015.
“Semua seksyen di Perak melibatkan laluan bermula di Hutan Melintang hingga Taiping Selatan telah berjaya disiapkan.
“Seksyen 4 sudah pun siap tetapi masih belum dibuka. Ketiga-tiga seksyen itu dijadualkan dibuka bagi melengkapkan keseluruhan rangkaian WCE,” katanya kepada pemberita selepas Sesi WCE Bersama Media Perak di sini hari ini.
Katanya, WCE turut memperkukuh infrastruktur digital melalui pemasangan menara telekomunikasi bagi meningkatkan liputan rangkaian komunikasi, aspek keselamatan jalan raya serta menyokong pembangunan lebuh raya pintar pada masa depan.
“Setakat ini, sembilan seksyen lebuh raya telah dibuka secara berperingkat melibatkan Seksyen 5, 6, 8, 9, 10, 11, 1 dan 2, sementara pembukaan baki seksyen akan melengkapkan laluan WCE dari Banting ke Taiping.
“Selain menyediakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di lebuh raya, WCE dijangka merangsang pembangunan ekonomi di sepanjang pesisir pantai barat Selangor dan Perak menerusi aktiviti perdagangan, pelancongan serta pertumbuhan kawasan perindustrian,” katanya.
Jelasnya, WCE turut dilengkapi kemudahan seperti telefon kecemasan setiap dua kilometer, rondaan lebuh raya 24 jam, kawasan rehat dan rawat (R&R), surau, tandas serta kemudahan pengecas kenderaan elektrik di beberapa lokasi strategik untuk kemudahan pengguna.-UTUSAN










