KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan sebanyak RM33.5 juta bagi melaksanakan 94 projek menaik taraf infrastruktur keselamatan
jalan raya di seluruh Semenanjung Malaysia sepanjang tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan projek itu melibatkan 77 lokasi di bawah Program Memperelok Lokasi Kerap Berlaku
Kemalangan (Blackspot) dan 17 lokasi bagi Program Lintasan Pejalan Kaki Searas Berlampu Isyarat (LPKSI).
Menurutnya, projek yang dijangka siap sepenuhnya pada oktober ini akan menyediakan infrastruktur yang lebih selamat serta berkualiti kepada penduduk di 11 negeri dan 36 daerah.
“Daripada jumlah keseluruhan peruntukan tahun ini, sebanyak RM27.85 juta disalurkan untuk program Blackspot, manakala RM5.2 juta lagi adalah bagi pembinaan LPKSI.
“Pendekatan kita adalah berasaskan data melalui analisis Sistem Pengurusan Kemalangan Jalan Raya (RAMS) bagi memastikan setiap intervensi yang dilaksanakan adalah tepat dan berkesan dalam mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meyempurnakan Majlis Penyerahan Projek dan Surat Setuju Terima (SST) bagi Program Cakna MADANI: Pelaksanaan Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya Tahun 2026 di ibu negara, hari ini.
Alexander berkata, pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi itu perlu dipercepatkan bagi memastikan rakyat dapat menikmati perjalanan yang lebih selesa serta terlindung daripada risiko yang boleh meragut nyawa.
Katanya, sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, kerajaan berjaya merawat sebanyak 342 lokasi Blackspot dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM118.5 juta.
“Bagi program LPKSI pula, sehingga tahun 2025, sebanyak 154 lokasi telah dilengkapi kemudahan tersebut dengan kos RM39.79 juta sejak ia mula dilaksanakan
pada 2018.
“Ini membuktikan komitmen berterusan kementerian dalam memperkukuh keselamatan Jalan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sementara itu, pada masjid sama, beliau turut menyerahkan SST kepada 32 kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan Program Blackspot Fasa 2 serta merakamkan
penghargaan kepada kontraktor yang berjaya menyiapkan projek fasa terdahulu mengikut sasaran.
Katanya, semua kontraktor yang dilantik perlu memikul amanah tersebut dengan penuh integriti dan profesionalisme bagi memastikan projek disiapkan mengikut jadual ditetapkan.
“Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan jalan raya, malah menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekonomi akar umbi melalui penglibatan
kontraktor tempatan serta mewujudkan peluang pekerjaan di kawasan terlibat,” katanya.-UTUSAN










