JOHOR BAHRU: Polis berjaya menggempur satu sindiket perjudian dalam talian yang dijalankan sekumpulan warga asing setelah menyerbu sebuah kediaman mewah di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini pada 8 Disember lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan yang dijalankan pada pukul 2 petang itu, seramai lima lelaki warganegara Indonesia ditahan.
Katanya, mereka bekerja sebagai operator tambah nilai dan pengeluaran kredit yang berusia antara 21 hingga 29 tahun.
“Serbuan yang dijalankan mendapati sindiket berkenaan menjadikan premis tersebut sebagai ‘calling centre’ bagi tiga laman sesawang perjudian yang menyasarkan pelanggan tempatan.
“Nilai kutipan sindiket berkenaan antara RM3,000 hingga RM10,000 sehari di mana mereka juga telah beroperasi sejak Mac lalu,” katanya dalam sidang akhbar diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Anggaran keuntungan yang diraih sindiket tersebut dipercayai mencecah sehingga RM2.7 juta.
Menurut Ayob Khan, semua transaksi yang dijalankan sindiket itu melibatkan perbankan dalam talian dengan beberapa akaun telah dikenal pasti yang mana semuanya merupakan bank tempatan.
“Semua suspek yang ditahan mengaku menerima gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan dengan komisen dijanjikan antara RM500 hingga RM800 berdasarkan keuntungan bulanan mereka.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas tiga komputer riba, sebuah tablet, 15 telefon bimbit pelbagai jenama, empat modem wifi dan kunci rumah,” ujarnya.
Tambah beliau, kesemua suspek itu memasuki negara ini pada tahun 2019 menggunakan pas lawatan sosial serta pasport mereka dipegang oleh ejen sindiket berkenaan.
“Ketika ini, dalang sindiket terbabit sedang disiasat manakala kesemua suspek dikenakan reman empat hari bermula 9 Disember,” katanya sambil memberitahu kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. -UTUSAN ONLINE










