Perarakan kematian: Polis rakam keterangan tujuh individu - Utusan Malaysia

Perarakan kematian: Polis rakam keterangan tujuh individu

MIOR Faridalathrash Wahid (kanan) menyampaikan Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan kepada Zufayri Mohd Zulkifli pada Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Suksis UPSI 2021 di SITC di Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Polis telah merakam percakapan tujuh individu bagi membantu siasatan insiden perarakan kematian yang diiringi sebuah helikopter yang melakukan penerbangan rendah di Little India Ipoh, Sabtu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mereka yang dipanggil untuk memberi keterangan ialah juruterbang, pengurus Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), pengurus syarikat acara, waris, pengurus mayat, pengurus syarikat helikopter dan pemilik kuda.

“Berdasarkan siasatan, perarakan itu tidak dimaklumkan kepada mana-mana pihak berkuasa dan ia juga diadakan secara ad hoc.

“Hasil siasatan, mereka pada mulanya tiada perancangan untuk mengadakan perarakan tetapi anak-anak si mati mengambil keputusan membuat perarakan untuk membawa mayat ke tanah perkuburan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (Kor Suksis) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2021 di Dewan Sultan Idris Training College (SITC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UPSI yang juga Komandan Kehormat Kor Suksis UPSI, Profesor Datuk Dr Md. Amin Md. Taff.

Mengulas lanjut beliau berkata, daripada siasatan yang dijalankan, helikopter yang melakukan penerbangan rendah pada perarakan itu mempunyai kebenaran daripada pihak CAAM.

“Kita sedang melengkapkan siasatan dan akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya atau Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut,” katanya.

Terdahulu, video perarakan kematian pada 27 November lalu berdurasi 30 saat tular dalam media sosial yang memaparkan konvoi ke lokasi pengebumian diiringi khidmat helikopter terbang rendah dan kuda.

Sementara itu, pada majlis tersebut, seramai 65 orang pelatih Kor Suksis UPSI yang berjaya menamatkan latihan, ditauliahkan hari ini.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Sains Kejurulatihan), Mohd. Zufayri Mohd. Zulkifli, 26, dinobatkan sebagai pelatih terbaik keseluruhan.

Anugerah pelatih terbaik akademik pula diterima pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan, Mohamad Aidil Idham Aziz, 23, manakala pelatih terbaik latihan luar dinobatkan kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik), Ain Nabila Zainalabidin, 22. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN