Inspektor Farid, kaki peras ugut diberkas - Utusan Malaysia

Inspektor Farid, kaki peras ugut diberkas

ARSHAD Abu (kiri) menunjukkan pistol mainan yang dirampas di rumah suspek di Kampung Sungai Ragok, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang bekas penjawat awam diberkas selepas dipercayai menyamar sebagai polis untuk melakukan peras ugut dan menyimpan pistol mainan serta peluru hidup di rumahnya di Ayer Paabas, di sini semalam. 

Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya di Jalan Haji Saaban, Kampung Sungai Ragok kira-kira pukul 6 petang oleh sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah. 

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, tangkapan dibuat susulan menerima satu laporan daripada seorang pengadu mendakwa telah diperas ugut oleh suspek yang menyamar sebagai pegawai polis. 

Jelasnya, suspek telah berjumpa dengannya dan memperkenalkan diri sebagai Inspektor Farid sebelum meminta sejumlah wang bagi menyelesaikan satu kes narkotik membabitkan abang pengadu pada 8 Disember. 

“Suspek mendakwa akan melepaskan abang pengadu sekiranya dibayar sebanyak RM7,000 atau dibawa ke mahkamah untuk dituduh jika gagal berbuat demikian. 

“Pengadu yang terdesak ingin membebaskan abangnya telah menyerahkan wang seperti yang diminta di luar pagar Balai Polis Alor Gajah pada 22 November lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pengadu menyedari dirinya tertipu apabila mendapati abangnya telah dituduh di mahkamah pada 2 Disember dan cuba menghubungi suspek, namun gagal. 

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis telah membuat tangkapan ke atas suspek dan pemeriksaan dalam rumah menemui satu pucuk pistol mainan warna hitam bertulis Glock 19 Austria 9X19 serta satu sarung pistol. 

“Selain itu, terdapat sebutir peluru warna hijau bertulis Remington 12GA, sebutir peluru warna putih bertulis Zuber dan satu kelopak kosong dipercayai kelopak senjata SMG HK MP5,” katanya. 

Ujarnya, siasatan awal mendapati suspek yang masih bujang merupakan bekas penjawat awam dan dibuang kerja atas kesalahan disiplin pada 6 Oktober lalu. 

Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 15 Disember untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 384/170 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 dan 35 Akta Senjata 1960.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya