Artis pun ada hari emosinya kurang baik, tidak adil jika digelar sombong - Ceddy Ang - Utusan Malaysia

Artis pun ada hari emosinya kurang baik, tidak adil jika digelar sombong – Ceddy Ang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Artis pun ada hari emosinya kurang baik atau ‘bad day’, tidak adil jika digelar sombong. Peminat dan artis perlu ada empati.”

Demikian kata personaliti media sosial dan penyanyi, Ceddy Ang yang berpendapat tidak adil jika sesetengah artis itu digelar sombong ketika bertemu peminat memandangkan mereka juga tidak terlepas daripada berdepan dengan ketidakstabilan emosi.

Ceddy berkata, peminat dan selebriti perlu bersikap terbuka selain memahami situasi antara satu sama lain agar tidak menimbulkan sebarang salah faham serta hubungan baik bersama turut terjaga.

“Dalam sebarang situasi artis pun kena faham, walaupun emosi tidak stabil tapi kalau peminat teruja mahu jumpa, jangan buat muka dan layan mereka dengan baik.

“Seperi saya kalau ada orang yang betul-betul minat mahu ambil gambar, saya rasa sebagai seorang yang dikenali awak kena layan juga.

“Peminat pula kena faham, sekiranya emosi artis itu tidak okey semasa berjumpa, bagi mereka masa dan ruang. Masing-masing kena faham situasi masing-masing. Tanpa mereka, awak tidak akan kemana,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ceddy berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran single kedua, Asal Ada Kamu, semalam.

Dalam masa sama, Ceddy berkata sikap semula jadinya yang gemar berinteraksi dengan peminat membuatkan dirinya tidak gentar jika terpalit dengan gelaran sombong.

“Kalau awak tengok muka saya, awak rasa sombong ke? Setakat ini, saya tidak pernah lagi berdepan dengan situasi itu. Sekiranya bertemu dengan peminat, saya akan berborak dengan mereka.

“Adakala saya pula yang terlebih berborak seperti dalam podcast. Tetapi jika saya kesuntukan masa, saya akan minta maaf dan bergambar saja,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ceddy tampil melancarkan lagu kedua berjudul Asal Ada Kamu, yang mengangkat elemen retro dengan sentuhan istimewa daripada Bo Amir dan MimiFly.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN