Dua lelaki dicekup bantu kes tikam warga emas - Utusan Malaysia

Dua lelaki dicekup bantu kes tikam warga emas

CHA HOONG FONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Dua lelaki diberkas bagi membantu siasatan kes seorang warga emas yang maut ditikam ketika mahu menunaikan solat Jumaat di Kampung Idaman, Pandamaran di sini, hari ini.

Kedua-dua suspek tempatan berusia 33 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar daerah ini dan Shah Alam, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, penahanan itu dilakukan hasil risikan dan maklumat diperoleh Bahagian Siasatan Jenayah pihaknya.

“Semakan mendapati suspek utama kes itu memiliki tiga rekod jenayah lampau termasuk dadah. 

“Selain itu, senjata yang digunakan suspek untuk menikam mangsa berjaya ditemukan,” katanya dalam kenyataan petang tadi.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan mangsa, Mohd. Sani Abdullah, 69, meninggal dunia akibat kecederaan di anggota badan.\

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.35 tengah hari itu, mangsa sedang bersiap untuk pergi menunaikan solat Jumaat di sekitar kawasan berkenaan.

Mangsa kemudian didatangi seorang lelaki yang bertindak menikamnya di badan dengan pisau lalu melarikan diri.

Jelas Hoong Fong, kes itu dianggap selesai dengan tertangkap dua suspek  dalam tempoh kira-kira empat jam.

“Permohonan reman terhadap mereka akan dibuat di Mahkamah Klang esok. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Tambah beliau, siasatan lanjut masih diteruskan pihaknya bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN