IPOH: Seni bina Melayu yang kian terpinggir kini diperjuangkan kembali oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini yang bertekad untuk menghidupkan semula warisan seni bina tradisional bangsa itu bermula dari Perak.
Mohd. Annuar menyuarakan rasa kesal dan bimbang terhadap kecenderungan masyarakat masa kini lebih mengagungkan seni bina luar terutama Arab dan Asia Barat khususnya dalam pembinaan masjid sehingga mengabaikan identiti seni bina Melayu Islam yang perlu menjadi teras budaya tempatan.
“Kita orang Melayu yang mendukung Islam, tetapi seni binanya lebih kepada Arab. Kalau tak berhati-hati, budaya Melayu akan terhapus kalau kita biarkan,” katanya semasa berucap pada sesi sembang bersama wartawan di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, seni bina bukan sekadar aspek fizikal, tetapi lambang jati diri dan warisan.
Beliau sebagai Yang Dipertua MAIPk memandang serius tanggungjawab tersebut dengan menjadikan pembangunan Kompleks Pentadbiran dan Pusat Komersial (KPPK) MAIPk di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab sebagai contoh nyata seni bina Melayu yang perlu dihidupkan kembali.
Reka bentuk bangunan itu yang bercirikan seni bina Melayu sepenuhnya, kata beliau telah dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai simbol komitmen MAIPk dalam memperjuangkan budaya dan warisan tempatan.
“Selagi saya diberi hayat dan amanah, saya akan terus perjuangkan seni bina Melayu. Ini bukan soal nostalgia, ini soal maruah budaya kita,” katanya.
Beliau turut memberitahu Sultan Perak agar semua masjid baharu yang dibina di negeri ini akan menggunakan bumbung Melayu dan bukan lagi kubah sejajar dengan identiti seni bina tempatan.
“Kubah bukan saja tidak mencerminkan budaya kita, malah kos baik pulihnya tinggi. Banyak masjid yang bocor kubahnya, nak tampal tak boleh, kena ganti semua. Bumbung Melayu lebih praktikal dan berakar budaya,” katanya.
Mohd. Annuar yang juga Pengerusi UDA Holdings Berhad dan Lembaga Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkata, beberapa projek lain sedang dirancang bagi meneruskan agenda itu. – UTUSAN










