[VIDEO] Tular sekumpulan gadis diekori kereta tidak dikenali - Utusan Malaysia

[VIDEO] Tular sekumpulan gadis diekori kereta tidak dikenali

TANGKAP layar video Tiktok sekumpulan wanita panik diekori kereta tidak dikenali.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah video memaparkan sekumpulan gadis sedang berada di dalam detik cemas apabila kereta yang dipandu mereka diekori rapat oleh kereta yang tidak dikenali di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, semalam.

Pemilik akaun Tiktok, Nur Faatihah Maisarah berkata, kereta tidak dikenali itu mengikuti mereka sepanjang jalan dari Cheras dan mula disedari beliau di Jalan Kuching, malah seperti ingin meminta keretanya untuk berhenti di bahu jalan.

Menurut gadis tersebut, mereka tidak mengenali dan tidak tahu akan model kereta yang dipandu oleh individu tidak dikenali itu kerana individu misteri itu menghidupkan lampu tinggi untuk menghalang gadis itu melihat ke belakang.

“Saya perasan apabila kereta tu pandu laju ke arah kami, tetapi, saya hanya berdiamkan diri sahaja sebab saya pasti saya tidak melakukan apa-apa kesalahan lalu lintas yang boleh mengundang kemarahan orang lain.

“Masa kami tengah panik, nasib baik ada seorang pemandu lori yang menolong kami dengan menghalang kereta tersebut daripada mengikut kami,” jelasnya di dalam video.

Video tular sekumpulan wanita panik diekori kereta tidak dikenali -video media sosial

Faatihah berkata, pihaknya akan melaporkan kejadian itu kepada polis dan mengharap individu yang tidak bertanggungjawab itu berhenti melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan pengguna jalan raya lain terlibat kemalangan.

Rata-rata netizen yang melihat video itu meluahkan perasaan bimbang dan marah melihat individu misteri yang menakutkan sekumpulan gadis tersebut.

“Jangan berhenti kereta..jalan je, cari tempat selamat sampai dia tak follow dah.. jangan terus balik rumah, paling penting ingat plat number dan jenis kereta,” komen serasofeiya.

Sementara itu, terdapat wanita-wanita yang mendakwa diri mereka turut mengalami pengalaman yang sama.

“Be careful girl. I pernah kena macam ni kena follow dari belakang then dia potong laju-laju, u-turn and bump dari depan. Empat ke lima orang turun sepak terajang kereta,” komen mydeardaisies. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN