PETALING JAYA: Tular rakaman video seorang lelaki yang didakwa ‘pegawai polis’ memukul seorang wanita di dalam lif selepas klip rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dikongsi oleh seorang pengguna di Twitter.
Suspek itu juga didakwa merupakan salah seorang ahli kongsi gelap “Geng 360 Devan”.
Video rakaman yang dimuat naik oleh akaun Edisi SiasatMY (@edisi_siasatmy) telah mencapai bilangan tontonan sebanyak 284,000 dan 9,331 ciapan semula setakat ini.
Hasil tinjauan di ruangan komen Twitter, ramai warga net kecewa dan marah terhadap tindakan suspek tersebut.
“Macam mana polis boleh jadi ahli gengster, ada geng pula tapi anggota?” soal seorang warganet.
TULAR rakaman video seorang lelaki yang dikatakan pegawai kanan polis memukul wanita dalam lif-VIDEO MEDIA SOSIAL
Seorang warganet turut meninggalkan komen, “Oh ini ke kononnya @PDRMsia itu bersih dari kartel polis dari itu dari ini. Berani, Mesra dan Betul?” soalnya.
“Macam mana anggota polis boleh menjadi ahli gengster? Macam mana nak jaga keamanan negara ke nak menjaga belakang sendiri? Apa sudah jadi pada integriti @PDRMsia?” soal seorang individu.
Selain itu, seorang warganet berkata, “Buat malu sahaja kalau @PDRMsia senyap sahaja tentang kes ini. Tidak bermaruah untuk mengangkat tangan kepada wanita walau apa jua keadaan! Buang sahaja anggota macam ini.”
“Mohon @PDRMsia @SPRMMalaysia siasat dakwaan ini! Pihak polis seharusnya melindungi rakyat! Siasat dakwaan ini! Bersihkan pihak polis daripada aktiviti gengsterisme dan lain-lain,” menegas seorang warga net.
Berdasarkan ciapan seorang pengguna Twitter, Pegawai tersebut dikatakan telah ditukar tugas sementara siasatan tatatertib dan jenayah dijalankan. -UTUSAN ONLINE










