Tiada laporan mengenai sindiket tawar kemaskini sijil vaksinasi dalam MySejahtera - Utusan Malaysia

Tiada laporan mengenai sindiket tawar kemaskini sijil vaksinasi dalam MySejahtera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Tiada sebarang laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh mana-mana individu berhubung dakwaaan  tawaran mengemaskini sijil digital vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera dengan bayaran tertentu.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos berkata, mana-mana individu yang menerima mesej berhubung penawaran sijil digital vaksin menerusi aplikasi WhatsApp diminta tampil membuat laporan berhubung perkara itu.

Kata beliau, laporan itu penting agar siasatan dapat dijalankan oleh pihaknya berhubung perkara itu.

“Tiada laporan diterima setakat ini. Mana-mana yang terasa ditipu atau menerima tawaran berkenaan diminta tampil membuat laporan,” katanya ringkas di sini hari ini.

Sebuah portal hari ini melaporkan, individu yang enggan menerima suntikan imuniti boleh mendapatkan sijil vaksinasi yang lengkap seperti penerima lain dalam tempoh tujuh hari dengan bayaran RM800.

Dakwa portal berkenaan, sindiket itu telah menyasarkan golongan antivaksin khususnya penjawat awam seperti guru dan pensyarah, sindiket pemalsuan dokumen turut memberi jaminan bahawa sijil berkenaan bukan sahaja dipaparkan di dalam aplikasi MySejahtera tetapi data peribadi pada sistem yang digunakan kerajaan itu, turut dikemaskini.

Modus operandi baharu itu dipercayai bermula selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan pekeliling yang mewajibkan semua penjawat awam termasuk guru mengambil vaksin dan perlu segera melengkapkan imunisasi sebelum 1 November bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja.

Malah, arahan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin yang membenarkan pengurusan sekolah memeriksa sijil vaksinasi guru bermula Isnin lalu semakin membuka peluang kepada sindiket terlibat untuk mengaut keuntungan atas angin.

Dakwa portal itu lagi, sindiket akan menghantar mesej berhubung sijil digital vaksin dan nombor untuk dihubung menerusi aplikasi WhatsApp.

Mana-mana individu yang tertarik dengan mesej berkenaan akan membuat bayaran dan mereka boleh menggunakan sijil berkenaan sama seperti penerima suntikan vaksin lengkap yang lain.

Tambah portal itu, individu yang ingin mendapatkan ‘khidmat’ sijil digital vaksin boleh memberikan dokumen lengkap seperti salinan MyKad, alamat terkini dan sejarah penyakit jika ada.-UTUSAN 0NLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya