WASHINGTON: Perbalahan antara Amerika Syarikat (AS) dan Jerman semakin memuncak apabila Presiden, Donald Trump mengancam untuk menarik balik sebahagian tenteranya dari negara itu susulan perbezaan pendapat mengenai kempen diketuai Washington di Iran.
Dalam hantaran di platform Truth Social pada Rabu, Trump berkata, AS sedang mengkaji dan menilai kemungkinan pengurangan tentera di Jerman, dengan keputusan akan dibuat dalam tempoh terdekat.
Kelmarin, beliau memperluaskan ancaman itu kepada Itali dan Sepanyol.
“Maksud saya, mereka tidak benar-benar sehaluan. Ya, mungkin akan (dikurangkan). Kenapa tidak? Itali tidak banyak membantu. Sepanyol sangat teruk,” kata Trump ketika ditanya mengenai kemungkinan pengurangan jumlah tentera di kedua-dua negara tersebut.
Situasi berlaku ketika Eropah dan Washington berselisih faham mengenai pendekatan AS terhadap perang dengan Iran.
Canselor Jerman, Friedrich Merz mencetuskan kemarahan Trump minggu ini susulan kenyataannya pada Isnin, menyifatkan AS sedang ‘dihina’ oleh Iran dan mengkritik pentadbiran itu kerana tiada strategi berkesan untuk menamatkan perang.
Terdapat 36,436 anggota tentera aktif AS yang ditempatkan secara tetap di Jerman, jauh lebih tinggi berbanding negara Eropah lain, menurut data daripada Pusat Data Tenaga Kerja Pertahanan AS (DMDC) yang dikeluarkan pada Disember 2025.
Trump sebelum ini pernah mengancam untuk mengurangkan bilangan tentera di negara itu pada 2020, semasa penggal pertamanya sebagai presiden dan ketika Angela Merkel memegang jawatan canselor Jerman.
Pergeseran antara pemimpin Eropah dan pentadbiran Trump semakin memuncak susulan perang AS-Israel, yang dilancarkan tanpa dimaklumkan kepada kebanyakan sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Jurucakap kerajaan mendakwa, Jerman dimaklumkan lebih awal mengenai serangan awal tersebut, namun negara Eropah enggan terlibat secara langsung dalam konflik itu, sebaliknya menekankan kepentingan penyelesaian diplomatik.
Sebagai tindak balas, Trump mengancam menilai semula keanggotaan AS dalam NATO dan menyifatkan pakatan ketenteraan itu sebagai lemah dan tidak berkuasa.
Seperti beberapa negara Eropah lain, Jerman menawarkan sokongan ketenteraan terhad kepada AS, termasuk membenarkan penggunaan infrastruktur ketenteraannya seperti pangkalan udara bagi operasi berkaitan konflik, namun tidak membenarkan ia digunakan sebagai pangkalan pelancaran serangan secara langsung.- AGENSI










