Rakam keterangan Mohd. Azis prosedur biasa lengkap prosedur siasatan - Utusan Malaysia

Rakam keterangan Mohd. Azis prosedur biasa lengkap prosedur siasatan

MAZLAN Lazim (kanan) melihat pelan dan kos projek perumahan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di Maran, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Tindakan polis merakam keterangan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman susulan ucapan perbahasannya dalam persidangan Dewan Rakyat prosedur biasa bagi melengkapkan siasatan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim yang mengesahkan siasatan terhadap Mohd. Azis berkata, ia dilakukan kerana ada pihak membuat laporan polis berhubung perkara itu.

“Laporan polis itu ada, jadi kita jalankan siasatan biasalah… lepas siasatan kita rujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

“Dalam hal ini saya tidak mahu komen lebih sebab apabila ada laporan polis dan kita rasa ada keperluan untuk menjalankan siasatan, kita buatlah siasatan… ini baru siasatan, belum ambil tindakan lagi,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke perumahan polis terbengkalai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dan Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd Rahman.

Kelmarin, Mohd. Azis dipanggil untuk memberi keterangan di Bukit Aman berhubung ucapannya dalam perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat.

Pada 9 November menerusi ucapan perbahasannya, Mohd. Azis memberi amaran tentang gerakan mendesak Sabah keluar dari Malaysia susulan layanan tidak adil kepada Sabah dalam peruntukan Bajet 2022 dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) itu dalam sidang akhbarnya di lobi Parlimen pada Selasa lalu mendakwa beliau diminta memberi keterangan kira-kira satu jam oleh pihak polis selepas membangkitkan tentang perkara itu.

Semalam, ahli Parlimen pembangkang membangkitkan Peraturan Mesyuarat dan meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun campur tangan dalam isu berkenaan.

Perkara itu dibangkitkan Lim Guan Eng sejurus selepas sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat dengan merujuk Peraturan Mesyuarat 36.10 mengenai isi-isi ucapan ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat.

Guan Eng dilaporkan berkata, Azhar boleh membuat ketetapan tentang perkara itu dan polis perlu merujuk kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, sekiranya terdapat sebarang masalah tentang pernyataan dibuat Ahli Parlimen Sepanggar itu, perkara tersebut perlu dibangkitkan pihak kerajaan dan dirujuk kepada jawatankuasa Parlimen untuk tindakan lanjut. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya