Penjawat awam buat laporan palsu elak didenda hilang MyKad - Utusan Malaysia

Penjawat awam buat laporan palsu elak didenda hilang MyKad

AHMAD JAWILA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LABUAN: Khuatir dikenakan denda yang tinggi kerana hilang MyKad untuk kali ketiga, seorang penjawat awam membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya disamun lelaki bermotosikal.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Ahmad Jawila berkata, penjawat awam yang merupakan lelaki tempatan berusia 27 tahun itu membuat laporan polis pada 3 November, kira-kira 8.30 malam dan mendakwa dirinya disamun dua lelaki yang menggunakan motosikal semasa sedang berjalan kaki di kawasan Pasar Raya Milimewa.

Menerusi laporan itu, penjawat awam berkenaan memberitahu polis bahawa beg yang dipakai mengandungi dompet, MyKad, lesen memandu kelas D, kad ATM serta wang tunai sebanyak RM50 dan telefon bimbit jenama Huawei 7 telah dicuri.

“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati berlaku percanggahan antara keterangan laporan polis yang dibuat dengan rakaman percakapan terhadap suspek.

“Akhirnya, suspek mengaku bahawa laporan polis yang dibuat adalah tidak benar. Sebenarnya dompet suspek telah tercicir semasa keluar berhibur di salah sebuah premis di kawasan Pekan Jati pada hari yang sama (3 November),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad berkata, suspek memaklumkan kehilangan kad pengenalan itu untuk kali ketiga. Bagi mengelakkan dikenakan denda yang tinggi di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara, suspek bertindak membuat laporan palsu. 

 Justeru, satu laporan polis dibuat terhadap suspek pada 4 November atas kesalahan membuat laporan polis palsu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu iaitu memberi maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasa yang sah di sisi undang-undang yang mendatangkan bencana kepada orang lain. Jika didapati bersalah, suspek boleh dihukum penjara selama enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Ahmad turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat laporan palsu bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN