Pemandu Bently antara 18 individu ditahan JSPT - Utusan Malaysia

Pemandu Bently antara 18 individu ditahan JSPT

maut
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Seorang pemandu kereta mewah jenis Bentley antara 18 individu ditahan menerusi Operasi Samseng Jalanan, Motosikal dan Pelbagai Kesalahan di ibu negara malam tadi.

Menerusi operasi kira-kira pukul 9 malam hingga 4 pagi tadi dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Chek Lah berkata, pemeriksaan ke atas kereta mewah berkenaan mendapati kenderaan dipandu lelaki berusia 23 tahun itu mempamerkan cukai jalan dan nombor pendaftaran tidak sama.

Kata beliau, susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 108(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kita turut menahan seorang lelaki penunggang motosikal berusia 21 tahun atas kesalahan sama. Selain itu, 12 lelaki berusia antara 22 hingga 54 tahun ditahan mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas mengenai Operasi Samseng Jalanan, Zulkafli berkata, pihaknya menahan empat lelaki yang menunggang motosikal secara merbahaya dengan melakukan aksi zig-zag, roket dan superman, selain bersaing sesama sendiri.

Beliau berkata, suspek berusia 19 hingga 21 tahun itu dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Secara keseluruhan sebanyak 371 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 10 motosikal disita mengikut Seksyen 64 akta sama kerana mengubah suai ekzos.

“Motosikal disita akan diambil tindakan dan diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal,” ujarnya.

Tambah beliau, operasi berterusan akan dijalankan pada setiap hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN