Kes jenayah menurun tahun lalu - DOSM - Utusan Malaysia

Kes jenayah menurun tahun lalu – DOSM

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kes jenayah di seluruh negara menurun 21.4 peratus tahun lalu berdasarkan Statistik Jenayah, Malaysia, 2021 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan itu disebabkan sekatan aktiviti sosial dan rentas sempadan daerah dan negeri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Beliau berkata, penurunan itu juga disebabkan aktiviti penguatkuasaan yang lebih ketat oleh pihak berkuasa dan kesedaran masyarakat dalam mempertingkatkan perlindungan daripada ancaman jenayah.

“Kes jenayah menurun 21.4 peratus kepada 65,623 kes berbanding 83,456 kes pada 2019. Kes jenayah ini terdiri daripada jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.

“Kedua-dua jenis jenayah ini menunjukkan penurunan pada 2020. Jenayah kekerasan merekodkan penurunan 19.5 peratus pada 2020 kepada 13,279 kes, manakala jenayah harta benda pula menurun 21.8 peratus kepada 52,344 kes pada tempoh sama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, berdasarkan rekod kes jenayah kekerasan mengikut daerah pentadbiran, Seremban merekodkan peratusan penurunan tertinggi iaitu 40.6 peratus kepada 326 kes berbanding 549 kes pada tahun sebelumnya.

Selain itu, Mohd. Uzir berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaporkan, bilangan jenayah siber meningkat 99.5 peratus kepada 20,805 aduan berbanding 10,426 aduan pada tahun 2019.

Menurutnya, antara aduan yang diterima adalah elemen lucah, palsu, jelik, sumbang dan mengancam dan kesemua elemen aduan itu mencatatkan peningkatan pada 2020.

“Peningkatan aduan tertinggi adalah bagi elemen palsu iaitu 117.6 peratus iaitu 6,637 aduan berbanding 3,050 aduan pada 2019,” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, bilangan penagih dadah yang ditangkap pula menurun 20.8 peratus kepada 20,643 orang pada 2020 berbanding 26,080 orang pada 2019.

“Ini dapat dilihat bilangan penagih dadah yang ditangkap menurun di semua negeri kecuali Johor, Terengganu, Kuala Lumpur dan Melaka.

“Bilangan tertinggi penagih dadah yang ditangkap pada 2020 direkodkan di negeri Johor (2,564 orang), diikuti Kedah (2,372 orang) dan Kelantan (2,271 orang).

“Bilangan penagih dadah yang ditangkap di Johor meningkat pada 2020 namun begitu, di Kedah dan Kelantan menurun pada 2020 berbanding 2019,” katanya.

Katanya, bagi kesalahan trafik pula, bilangan saman trafik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2020 meningkat 4.9 peratus kepada 5.3 juta saman berbanding 2019 (5 juta saman). -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya