Tengku Hassanal jadi lambang keberanian, disiplin –Wan Rosdy

Tengku Hassanal jadi lambang keberanian, disiplin – Wan Rosdy

TENGKU Hassanal Ibrahim Alam Shah membantu anggota rombongan yang cedera dalam misi Ekspedisi Mahkota Borneo semalam. - KESULTANAN PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kejayaan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menawan puncak Gunung Kinabalu, semalam
mencerminkan keperibadian unggul, ketahanan fizikal dan mental serta semangat juang tinggi dimiliki
Tengku Mahkota Pahang dalam menempuh setiap cabaran.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kecekalan yang dizahirkan Tengku Mahkota Pahang itu bukan sahaja menjadi lambang keberanian dan disiplin, malah turut menyuntik inspirasi kepada seluruh rakyat khususnya golongan muda.

“Baginda menjadi contoh terbaik kepada generasi muda agar terus membina jati diri yang kukuh, berdaya tahan serta mengamalkan budaya hidup sihat,” katanya hari ini.

Wan Rosdy berkata, kejayaan tersebut turut membuktikan sifat kepemimpinan, ketabahan dan komitmen tinggi Tengku Hassanal dalam menyahut cabaran lasak dan mencabar.

Beliau berkata, rakyat Pahang turut menzahirkan rasa bangga terhadap sifat prihatin dan jiwa kepemimpinan Tengku Hassanal apabila baginda sanggup mengiringi seorang anggota rombongan yang mengalami kecederaan kaki untuk mendapatkan rawatan lanjut di Kundasang.

Katanya, tindakan Tengku Hassanal yang memilih untuk bersama anggota rombongan terbabit walaupun selepas berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu jelas memperlihat sifat bertanggungjawab serta semangat setiakawan yang tinggi.

“Baginda bukan sahaja menunjukkan ketahanan fizikal dan mental sepanjang ekspedisi malah memperlihat nilai kemanusiaan serta kepimpinan yang amat dihormati rakyat.

“Sikap prihatin Tengku Hassanal yang sanggup bersama anggota rombongan sehingga selesai menerima rawatan turut menyentuh hati rakyat dan wajar dicontohi,” katanya.

Wan Rosdy berkata, semangat kebersamaan yang ditonjolkan Tengku Hassanal itu membuktikan baginda sentiasa mengutamakan kebajikan pasukan serta mereka yang berada di bawah tanggungjawab baginda.

Terdahulu, Tengku Hassanal berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu menerusi Ekspedisi Mahkota Borneo yang disertai pegawai dan anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) serta pengiring rapat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam ekspedisi itu, baginda turut berkenan mengiringi seorang anggota rombongan yang mengalami kecederaan kaki untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kundasang selepas dibawa menaiki helikopter dari Panalaban.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN