PETALING JAYA: Peserta Big Stage X Rocketfuel, Yad-Z terkejut dengan reaksi yang diberikan netizen terhadap komennya menerusi segmen Buzz Big Stage Rocketfuel yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut pemilik nama penuh Muhammad Yadzir Muadz Mohd Suhut itu, panggilan biadab dan berlagak daripada netizen tidak menggambarkan sikap sebenarnya.
”Saya jarang baca komen di Thread, jadi bila ada netizen yang menyangka kita ini biadab kerana komen tersebut, saya tak tahu nak bagi reaksi bagaimana.
“Terus terang saya tak pernah terima reaksi sedemikian sebelum ini. Makin lama makin banyak yang menulis kritikan, membuatkan saya sedikit tertekan.
”Tapi pihak produksi nasihatkan agar jangan layan panggilan-panggilan itu. Seperti yang saya katakan, kata-kata saya tidak ditujukan kepada mana-mana peserta dan saya tidak hebat.
“Saya pendatang baharu yang nak belajar bukan bersaing secara kotor, tidak sama sekali,” ujarnya selepas konsert Big Stage Rocketfuel semalam.
Yad-Z menjadi tular selepas memberikan komen yang seolah-olah mengangkat dirinya sendiri selepas ditanya mengenai penyertaan Hussain dalam program berkenaan.
Penyanyi berasal dari Kuala Lumpur itu dalam kenyataan terkini memaklum tidak berniat mempekecilkan Hussain dan komennya itu tidak ditujukan kepada mana-mana pihak.
Sementara itu Yad-Z memaklumkan hubungan dengan bekas pemenang tempat kedua program Talk To My Manager musim kedua itu tidak terjejas kerana perkara itu.
“Saya dengan Hussain tak bermasam muka, malah di belakang tabir kami agak rapat.
“Dia nasihatkan saya agar tidak mengambil pusing tentang itu, jangan pedulikan dan anggap sahaja sebagai satu proses pembelajaran,” kongsinya.
Yad-Z dalam masa yang sama mengakui dia cuma pendatang baharu yang perlu belajar banyak perkara sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Kita ini baru dalam industri seni, kadang terlepas cakap. Tapi percayalah saya tidak berniat untuk merendah-rendahkan perserta lain.
“Saya pula bukan orang yang pandai menyusun kata-kata. Apa yang keluar dari mulut saya itu bukan perkara yang saya niatkan.
”Yang saya cuba sampaikan adalah dalam pertandingan setiap perserta ada keupayaan masing-masing.
“Bila jadi begini mungkin saya akan lebih beringat selepas ini. Insya-Allah perkara sama tidak berulang,” ujarnya. – UTUSAN










