Kasihankan penyewa, tetapi dipukul pula - Utusan Malaysia

Kasihankan penyewa, tetapi dipukul pula

YAP Lai Tee (kanan) menunjukkan kepada Tan Bok Koon barangan lusuh diletakkan di hadapan sebuah stor yang dibina secara haram oleh penyewa bilik di rumahnya di Kampung Baru Pandamaran, Pelabuhan Klang di Klang, Selangor hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: ‘Diberi susu dibalas tuba’ itulah perumpamaan yang sesuai terhadap nasib menimpa seorang warga emas yang menyewakan bilik di rumah miliknya di Kampung Baru Pandamaran, Pelabuhan Klang, disini kepada sebuah keluarga sebelum dicederakan penyewa terbabit.

Mangsa, Yap Lai Tee, 71, tinggal dalam rumah sama mendakwa dipukul dengan spanar selepas menegur lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu yang tinggal bersama keluarganya seramai empat orang dalam sebuah bilik sama di rumah kayu tersebut.

Katanya, bilik berkenaan asalnya disewa ibu, abang dan teman wanitanya sejak setahun lalu, namun, lelaki terbabit dikatakan baru tinggal bersama sejak dua bulan lepas. 

Bagaimanapun, Lai Tee memberitahu sudah lama bersabar sejak lelaki itu berpindah masuk kerana kerap membuat bising pada waktu malam sehingga mengganggunya tidur.

“Selepas menegurnya, dia bertindak memukul saya dengan spanar hingga menyebabkan kecederaan pada tangan. 

“Lelaki yang menyewa bersama beberapa ahli keluarganya itu kemudian melarikan diri dan saya meminta bantuan jiran untuk mendapatkan rawatan di hospital,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dia ditemui ketika menerima kunjungan, Ketua Biro Aduan Awam MCA Klang, Datuk Tan Bok Koon di kediamannya itu hari ini.

Menurutnya Lai Tee lagi, sebelum ini dia pernah meminta keluarga berkenaan berpindah, namun bersimpati dengan keadaan mereka yang bekerja sebagai penjual barangan lusuh dan pakaian terpakai.

“Saya tidak menyangka ia dibalas sebaliknya sehingga dipukul malah turut pernah diugut mahu membakar rumah ini. Selain itu, mereka membina sebuah stor menyimpan barangan dan pakaian terpakai di luar kawasan rumah tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT),” luahnya.

Tambahnya, susulan kejadian, dia membuat laporan di Balai Polis Klang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Bok Koon berkata, pihaknya akan memantau keadaan mangsa dan meminta Majlis Perbandaran Klang (MPK) merobohkan binaan stor tersebut.

“Saya turut sudah berbincang dengan polis mengenai kes itu semalam termasuk melibatkan soal keselamatan mangsa. Stor di halaman rumah itu juga perlu dirobohkan kerana dibina tanpa kebenaran dan masalah nyamuk,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Siasatan menyeluruh masih dijalankan termasuk mempergiatkan usaha mengesan suspek terlibat,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.